Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

09 May 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Air

Nombor Soalan

35

Soalan

​Dato' Sri Khairudin Samad minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan rancangan Kerajaan untuk memulihkan sungai-sungai kita yang tercemar, tersekat oleh sampah sarap dan telah pupus hidupan air disebabkan pencemaran

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Tanggungjawab bagi menangani isu pencemaran sungai melibatkan beberapa kementerian/agensi misalnya, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).
Walau bagaimanapun, perkara berkaitan dengan pengurusan sumber air terletak di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Setiap negeri mempunyai perundangan berkaitan sumber air yang tersendiri termasuk hal-hal berkaitan dengan larangan pencemaran di kawasan sumber air.

Bagi memulihkan sungai-sungai yang tercemar, kawalan dan penguatkuasaan di peringkat punca adalah penting. Memandangkan isu tanah dan sumber air termasuklah sungai-sungai adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, kawalan dan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri.
KATS melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) juga melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu/ Integrated River Basin Management (IRBM). Ia merupakan kaedah terbaik yang memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan bagi mencapai objektif iaitu Memastikan Air Mencukupi, Memastikan Air Bersih, Mengurangkan Risiko Banjir dan Meningkatkan Pemuliharaan Alam Sekitar. Melalui pelan IRBM ini, kementerian telah menyediakan perancangan dan pembangunan lembangan untuk rujukan kerajaan negeri dalam sesuatu pembangunan agar tidak mengancam kelestarian alam sekitar.
Melalui Program Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir Pelbagai Negeri pula, KATS memberi perhatian secara khusus mengenai isu pembersihan serta mendalamkan parit/sungai.

Skop kerja yang terlibat di bawah program tersebut adalah kerja pengorekan sungai, muara sungai, pembinaan struktur hakisan tebing sungai, membuang kelodak, sampah, sisa pepejal, pemotongan rumput, menaik taraf dan menyelenggara aset/ struktur kawalan banjir yang bertujuan mengurangkan risiko banjir. Di bawah program ini, KATS membantu Kerajaan Negeri dengan menyalurkan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja untuk mengurangkan risiko banjir di seluruh Negara.
Dalam usaha memulihara sungai, perlu untuk kita mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai dan impak yang bakal dihadapi sekiranya pencemaran sungai terus berlaku.

Selain daripada peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, KATS berpandangan pihak-pihak berkepentingan lain juga boleh terlibat dalam usaha memelihara dan memulihara kualiti air sungai. Contohnya adalah dengan memperkenalkan program sukarela river rehabilitation bersama pihak NGO, persatuan masyarakat yang berada di lembangan sungai berkenaan, entiti komersial dan lain-lain supaya dapat mewujudkan sense of belonging terhadap sungai di kawasan mereka.

Sekian, terima kasih


Attachments