Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Air, Sektor Air

Nombor Soalan

174

Soalan

 DATO' HASBULLAH BIN OSMAN minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan :-

(a) berapa peratuskah bekalan air bersih dan terawat dari bulan Mei 2018 hingga Januari 2019 bagi penduduk luar bandar dan apakah kedudukan bekalan air bersih dan terawat dari bulan Mei 2018 hingga Januari 2019 bagi Negeri Selangor dan Lembah Klang; dan

 

(b) bagaimana Kementerian memantau dan membantu kerajaan dalam merezab kawasan tadahan air yang masih belum diwartakan.


Jawapan

​SOALAN NO. 174

JAWAPAN (a)

Tuan Yang di-Pertua,

1. Secara puratanya, liputan bekalan air di Negeri Selangor sudah mencapai 99.8%, di mana 100% bagi kawasan bandar dan 99.5% bagi kawasan luar bandar. Pengeluaran purata bekalan air terawat bagi Negeri Selangor dan Lembah Klang dari 1 Mei 2018 hingga 31 Januari 2019 ialah 4,857 juta liter sehari (JLH).

 

2. Manakala bagi bulan Januari 2019, pengeluaran air terawat berada pada paras 4,901 JLH berbanding dengan kapasiti boleh agih sebanyak 5,127 JLH dengan kadar margin rizab sebanyak 4.6%.

​3. Tanggungjawab untuk merezabkan kawasan tadahan air berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri yang dilaksanakan melalui badan kawal selia sumber air negeri masing-masing. Di Selangor sebagai contoh, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) merupakan pihak yang bertanggungjawab ke atas sumber air termasuk dari aspek kawalan, penggunaan, pemantauan dan perezaban. 

4. Peranan Kementerian lebih memberi perhatian kepada mengadakan peruntukan perundangan dan kaedah bagi menyokong pengurusan sumber air secara lebih berkesan. Sebagai contoh, Kementerian ini sedang dalam proses untuk mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air bagi tujuan keseragaman undang-undang berkaitan pengurusan sumber air di seluruh Negara. RUU ini adalah bersifat model law dan kerajaan negeri boleh menerima pakai RUU ini ke arah pengurusan sumber air yang lebih mampan, efektif dan efisien. Manakala melalui sistem National Water Balance System (NAWABS), ia dapat membekalkan maklumat sumber air semasa dan akan datang bagi memperkasakan maklumat dan risikan sumber air agar penggunaan sumber air antara pelbagai sektor dapat dibuat dengan lebih efisien.

 

Sekian, terima kasih. 




JAWAPAN (b):

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mengambil langkah-langkah untuk memantau dan membantu kerajaan-kerajaan negeri dalam merezab kawasan Hutan Tadahan Air yang masih belum diwartakan sepertimana berikut:

(i) Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Perhutanan Negara pada tahun 1992 dan 1996 telah memutuskan supaya semua negeri mengenal pasti kawasan di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang sesuai dan mewartakan kawasan tersebut sebagai Hutan Tadahan Air mengikut peruntukan subseksyen 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara 1984;

 

(ii) JPSM memantau status pewartaan kawasan Hutan Tadahan Air dalam HSK dan melaporkan status berkenaan di dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN). Sehingga 31 Disember 2018, seluas 809,823 hektar kawasan di dalam HSK telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air dan satu kertas kerja bagi menggesa Kerajaan Negeri untuk mewartakan baki kawasan yang belum diwarta seluas 223,640 hektar akan dibentangkan semasa Mesyuarat Ke-75 MTN yang akan datang;

 

(iii) Satu garis panduan iaitu Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kawasan Hutan Tadahan Air Dalam Hutan Simpanan Kekal telah disediakan dan diedarkan kepada semua Jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung Malaysia untuk dijadikan panduan dalam mengurus hutan tadahan air di negeri masing-masing;

 

(iv) Melalui Jawatankuasa Pemantauan Operasi Hutan (JKPOH), semua Jabatan Perhutanan Negeri telah diminta untuk melaksanakan pemantauan secara berkala di lapangan bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di dalam semua Kawasan Hutan Simpanan Kekal termasuk Hutan Tadahan Air.

 

Sekian, terima kasih.​


Attachments