Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

210

Soalan

SOALAN NO. 210

YB PUAN JUNE LEOW HSIAD HUI [HULU SELANGOR] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah perkembangan cadangan menaikkan kadar tarif air di setiap negeri dan bagaimana Kementerian menjamin kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat terutamanya isi rumah yang berpendapatan rendah.​


Jawapan

SOALAN NO. 210

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan Mekanisme Penetapan Tarif Air (Tariff Setting Mechanism) atau ringkasnya TSM adalah bertujuan untuk mewujudkan mekanisme penetapan tarif air yang sistematik, telus serta adil bagi manfaat kita semua. TSM mempunyai dua ciri penting. Ciri pertama ialah penyeragaman struktur tarif sedia ada, dan ciri kedua ialah pelarasan tarif sedia ada agar ia tidak terlalu jauh berbanding dengan kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air.

 

2. Sesi konsultasi dengan operator air dan kerajaan negeri telah diadakan bagi memberi penjelasan mengenai cadangan TSM dengan mengambilkira keperluan industri perkhidmatan bekalan air yang berbeza di setiap negeri. Pada masa ini Kementeian sedang mengadakan proses konsultasi dengan pengguna domestik dan pengguna bukan domestik. Hasil konsultasi ini kelak akan dijadikan input penting bagi pertimbangan Kerajaan dalam menentukan pelaksanaan TSM. Pada masa yang sama hebahan pelaksanaan TSM juga dibuat melalui pelbagai saluran media sosial, media cetak dan media elektronik.

 

3. Dalam menetapkan kadar tarif air baharu di bawah TSM, Kerajaan mengambilkira kepentingan serta hak golongan berpendapatan rendah terhad akses kepada bekalan air. Oleh itu, pelarasan tarif yang dicadangkan adalah minimum iaitu melibatkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter penggunaan. Kadar ini secara umumnya jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas dan telekomunikasi.

 

4. Sebagai menjamin pelaksanaan TSM tidak membebankan isi rumah berpendapatan rendah, Kerajaan akan memastikan kenaikan minimum dilakukan kepada jalur penggunaan antara 0 - 20 meter padu, di mana mewakili 47.8% pengguna domestik di Malaysia. Dalam pada itu, cadangan TSM ini juga mengambilkira keperluan untuk mendidik pengguna agar menggunakan air secara berhemah dan penjagaan alam sekitar. Oleh itu, adalah adil sekiranya kadar tarif lebih tinggi dikenakan bagi julat penggunaan air lebih tinggi (> 35 meter padu) dan bagi pengguna komersial.

 

5. Akhirnya, menjadi aspirasi Kementerian supaya melalui pelaksanaan TSM industri perkhidmatan air yang mapan, berdaya maju serta sentiasa berupaya memberi jaminan kelangsungan bekalan air yang berkualiti pada harga yang adil kepada pengguna dan operator air akan dapat diwujudkan.

 

Sekian, terima kasih.​


Attachments