Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

15

Soalan

​Tuan Steven Choong Shiau Yoon [Tebrau ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sama ada terdapat empangan air yang mengalami penyusutan air sehingga paras air rendah dan kesan kekurangan takungan air kepada bekalan air dan tindakan yang telah diambil.

Jawapan


Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sentiasa menjalankan pemantauan harian terhadap empangan-empangan utama di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, terutamanya yang berfungsi bagi pembekalan air terawat kepada pengguna.
Secara keseluruhannya bagi tahun 2019, kebanyakan empangan utama di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berada pada paras yang terkawal. Walau bagaimanapun, terdapat dua negeri yang mempunyai empangan yang berada di paras kritikal iaitu Melaka dan Johor. Empangan yang mencatatkan di bawah paras kritikal adalah Empangan Durian Tunggal bagi negeri Melaka, dan Empangan Lebam, Upper Layang dan Pulai 2 bagi negeri Johor.
Penyusutan air di empangan memberi kesan kepada kecukupan air mentah bagi disalurkan kepada kepada loji rawatan air untuk rawatan. Keadaan ini akan menyebabkan pihak operator air negeri perlu melaksanakan catuan air atau operasi Bekalan Air Berjadual kepada pihak pengguna.

Antara tindakan utama yang diambil bagi mengelakkan operasi Bekalan Air Berjadual adalah seperti berikut:

(i) tindakan pengepaman dari sumber air mentah lain seperti dari empangan atau sungai bagi meningkatkan paras air empangan yang kritikal;

(ii) operasi pembenihan awan (OPA) secara berfasa; dan

(iii) pemantauan secara berterusan akan dilakukan oleh SPAN, pihak Badan Kawal Selia dan operator air negeri;

Sekian, terima kasih.

Attachments