Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

88

Soalan

Dato' Rosol bin Wahid minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi mengusahakan tanah-tanah milik kerajaan yang terbiar sekian lama selain daripada cadangan mengusahakannya dengan projek-projek pertanian​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Pengurusan tanah yang mapan, cekap dan berkualiti adalah amat penting dalam memacu pembangunan negara. Pada asasnya, perolehan tanah kerajaan Persekutuan adalah untuk menjayakan projek-projek pembangunan Persekutuan seperti pembinaan sekolah, balai polis dan hospital. Walau bagaimanapun, tidak semua tanah-tanah ini dapat dimajukan berdasarkan perancangan asal disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya apabila Kementerian / Jabatan Pengguna (KJP) menyusun kembali keutamaan projek pembangunan masing-masing. Walaupun tanah-tanah ini belum dibangunkan, adalah menjadi tanggungjawab KJP untuk menjaga tanah tersebut dengan sebaiknya.

Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 2 Tahun 2007 iaitu Had Tempoh Masa Memiliki dan Memegang Tanah Kerajaan Persekutuan Yang Belum Atau Tidak Dimajukan Oleh Kementerian Atau Agensi Pengguna menggariskan bahawa sekiranya dalam tempoh lima (5) tahun, Kementerian masih tidak membangunkan tanah di bawah penggunaan Kementerian tersebut tanpa justifikasi yang kukuh, Pesuruhjaya Tanah
Persekutuan selaku pengawal (custodian) bagi semua tanah Persekutuan boleh menawarkan tanah-tanah tersebut kepada KJP yang lain melalui kaedah pemadanan berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa. Ini penting untuk memastikan penggunaan tanah Persekutuan dapat dimaksimakan dan tiada penambahan perbelanjaan kepada kerajaan Persekutuan bagi perolehan tanah yang baru.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli juga telah mengambil inisiatif bagi memastikan tanah kerajaan Persekutuan dapat digunakan secara optimum. Antara usaha yang telah diambil adalah dengan melaksanakan penyewaan dan pajakan tanah bagi pelbagai tujuan seperti perniagaan, pertanian dan pendidikan. Penyewaan dan pajakan merupakan salah satu mekanisma pengawalan tanah Kerajaan Persekutuan yang belum dibangunkan bagi memastikan tanah-tanah tersebut dapat dijaga, tidak diceroboh serta disalahgunakan oleh pihak lain sehingga merugikan kerajaan. Dalam masa yang sama, kerajaan Persekutuan dapat menjana hasil dari kutipan sewaan dan pajakan tersebut.

Selain daripada itu, tanah kerajaan Persekutuan yang belum dibangunkan oleh KJP ini digunakan untuk menjayakan projek-projek kerajaan Persekutuan yang lain seperti projek perumahan awam untuk rakyat. Melalui kaedah ini, kerajaan Persekutuan dapat memenuhi aspirasi untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk perolehan tanah yang baru.
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan terus memastikan pengurusan tanah kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan efisien dan inklusif dengan kerjasama semua kementerian dan agensi Persekutuan agar tanah kerajaan Persekutuan dapat digunakan sebaiknya.

Sekian, terima kasih.​

Attachments