Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

01 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Air

Nombor Soalan

96

Soalan

Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus (Hulu Langat) minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Kementerian dalam menjaga keselamatan empangan seperti di Empangan Semenyih yang terletak berdekatan jalan raya selain memasang pagar memandangkan ia membekalkan sumber air yang penting kepada orang ramai.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, bagi memastikan keadaan fizikal empangan berada dalam keadaan selamat, satu pasukan Flying Squad yang diterajui oleh Bahagian Bekalan Air, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah ditubuhkan. Pasukan yang dianggotai oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral Sains dan Geologi (JMG) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertanggungjawab membuat pemeriksaan dan pemantauan keselamatan ke atas 41 empangan yang dikategorikan sebagai empangan berisiko tinggi di Malaysia.

Empangan bekalan air yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan seterusnya akan diserah milik kepada Kerajaan Negeri. Selaku pemilik empangan, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan keselamatan empangan terpelihara seperti mewartakan kawasan tadahan empangan sebagai zon perlindungan. Sehingga Mei 2019, sebanyak 27 buah empangan bekalan air di Malaysia telah 
diwartakan sebagai kawasan sasaran penting yang merupakan sumber bekalan air mentah.

Selain itu, langkah-langkah lain yang telah diambil bagi tujuan menjaga keselamatan empangan adalah dengan membina pagar keselamatan dan pemasangan papan tanda amaran. Penguatkuasaan bersepadu bersama-sama agensi berkaitan secara berkala serta program kesedaran bersama pemilik-pemilik premis yang terletak berhampiran kawasan tadahan empangan turut diadakan.

Tuan Yang Dipertua,

Selanjutnya bagi menyeragamkan prosedur keselamatan empangan di seluruh negara, kementerian juga telah mengeluarkan satu garis panduan yang dikenali sebagai Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan di Malaysia (MyDAMS) pada tahun 2017 yang perlu digunapakai oleh Kerajaan Negeri dan Pemilik Empangan. Seterusnya pihak Kementerian melalui JPS juga telah melantik perunding bagi menyediakan template rang undang-undang berkaitan pengurusan keselamatan empangan untuk diguna pakai oleh Kerajaan Negeri.

Sekian. Terima kasih.​

Attachments