Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

10

Soalan

Tuan Che Alias bin Hamid [ Kemaman ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh mana penguatkuasaan dan pemantauan perlombongan haram atau tamat tempoh permit seperti bijih timah, bauksit, emas dan lain-lain di Malaysia.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

i) Bagi perlombongan haram di atas tanah kerajaan dan tanah milik (selain Pajakan Melombong dan Lesen Melombong Tuan Punya) adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri di mana aktiviti tersebut tertakluk kepada tindakan di bawah Enakmen Mineral Negeri yang dikuatkuasakan oleh Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri (PTG).

ii) Jika disabitkan kesalahan di bawah enakmen negeri kerana melombong tanpa lesen atau pajakan, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

iii) Namun, Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan membantu pihak Kerajaan Negeri menjalankan penguatkuasaan dan pengesahan aktiviti perlombongan tersebut. Tindakan perundangan selanjutnya akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri (PBN).

iv) Manakala perlombongan di atas Pajakan Melombong dan Lesen Melombong Tuan Punya adalah tertakluk kepada kelulusan Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme) yang diluluskan di bawah Akta Pembangunan Mineral (APM) 1994 oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

v) Bagi mana-mana aktiviti perlombongan di atas Pajakan Melombong dan Lesen Melombong Tuan Punya tanpa kelulusan Operational Mining Scheme yang boleh diambil tindakan oleh JMG di bawah APM 1994 dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda di bawah Seksyen 40, akta yang sama, yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
vi) Pihak JMG dari semasa ke semasa mengemaskini senarai lombong aktif dan senarai Pajakan Melombong dan Lesen Melombong Tuan Punya di setiap negeri untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.

Sekian, terima kasih.​

Attachments