Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

24

Soalan

Tuan Ramli bin Dato' Mohd Nor [ Cameron Highlands ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah tindakan yang diambil terhadap syarikat perlombongan yang menjalankan operasi perlombongan di kawasan penduduk Orang Asli Kuala Koh Gua Musang Kelantan yang tamat tempoh lesen operasinya pada tahun 2017 (beroperasi secara haram), aktiviti perlombongan haram ini secara langsung mencemarkan air yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli setempat mengakibat risiko jangkitan penyakit dan kematian pada mereka.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pemegang pajakan melombong (ML 3/2015, Lot 14810, Mukim Relai, Daerah Chiku) bagi kawasan perlombongan tersebut adalah Cemara Desa Sdn. Bhd. dan diusahakan oleh Syabas Tiara Sdn. Bhd. bagi perlombongan bijih mangan (manganese) dengan keluasan 99.33 hektar. Kawasan pajakan melombong ini diluluskan kali pertama bagi tempoh 17 Mac 2015 sehingga 16 Mac 2018 dan telah diperbaharui bagi kali kedua bermula 17 Mac 2018 sehingga 16 Mac 2023.

2. Pada peringkat awal, kelulusan pajakan melombong kawasan ini tidak tertakluk kepada keperluan Environmental Impact Assessment (EIA) kerana tidak memenuhi syarat minima keluasan iaitu 250 hektar. Namun begitu, setelah pindaan ke atas Akta Kualiti Alam Sekeliling dibuat pada tahun 2015 (tarikh pindaan berkuatkuasa pada 28 Ogos 2015), kawasan ini adalah tertakluk kepada keperluan EIA.

3. Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) telah dikeluarkan kepada Syarikat Cemara Desa Sdn. Bhd. bermula 11 Oktober 2016 sehingga 10 Oktober 2017.

4. Pada 22 Disember 2018, lawatan oleh pihak Kementerian mendapati tiada sebarang operasi perlombongan dijalankan dan semasa pemeriksaan JMG Kelantan pada bulan Februari dan Mac 2019 juga mendapati tiada sebarang operasi perlombongan di kawasan tersebut. Namun, hasil siasatan pada 9 Jun 2019 mendapati lombong ini beroperasi tanpa kelulusan SKSPM.

5. Oleh itu, pemajak telah melanggar peruntukan di bawah Seksyen 10 Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM). Oleh yang demikian, JMG telah mengeluarkan stop work order pada 10 Jun 2019 kepada Cemara Desa Sdn. Bhd. sehingga SKSPM tersebut diluluskan oleh JMG.

6. Susulan itu, satu serbuan telah dijalankan oleh pihak Kementerian melalui JMG Negeri Kelantan ke atas tapak perlombongan tersebut pada 11 Jun 2019 dan 12 Jun 2019. Pemeriksaan telah dijalankan ke atas kawasan pajakan melombong berkenaan dan telah merekodkan senarai jentera-jentera dan fasiliti lombong yang berada di tapak perlombongan berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut.

7. Seterusnya, penyiasatan telah dibuat bagi mengenalpasti aktiviti-aktiviti berkaitan operasi perlombongan dan pemprosesan mineral serta lain-lain kerja yang telah dijalankan di tapak perlombongan tersebut. Beberapa jentera yang berada di tapak perlombongan juga telah disita dan satu rakaman keterangan saksi juga telah dibuat pada hari berkenaan.

Tuan Yang di-Pertua,

8. Berkaitan dakwaan aktiviti perlombongan telah mencemarkan sumber air yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli (OA) sehingga mengakibatkan kematian, dakwaan tersebut setakat ini tidak dapat dibuktikan kebenarannya kerana aliran sungai yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli dan kolam takungan yang ada di tapak perlombongan tersebut tidak bercantum antara satu sama lain iaitu berada dalam kawasan tadahan (catchment area) yang berbeza.

9. Selain itu, hasil keputusan analisis sampel air yang telah dijalankan oleh JMG Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Jabatan Kimia dan beberapa agensi teknikal yang lain mendapati sumber air yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli tersebut memenuhi Standard Kualiti Air Minuman Kebangsaan bagi air mentah dan bebas daripada pencemaran logam berat.

Sekian, terima kasih.​


Attachments