Tuan Yang di-Pertua,
Projek tebatan banjir utama yang telah dilaksanakan di Sibu adalah sebagaimana berikut:
1) Rancangan tebatan banjir (RTB) Banjir Sibu Fasa 1 dimana projek ini siap dilaksanakan di dalam RMKe-9 dengan kos pelaksanaan projek RM137 juta; dan
2) Rancangan tebatan banjir (RTB) Banjir Sibu Fasa 2 dimana projek ini siap dilaksanakan di dalam RMKe-10 dengan kos pelaksanaan projek RM78 juta.
Rancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3), Lembangan Batang Rajang, Sarawak telah diluluskan dengan siling kos projek sebanyak RM100 juta dalam RMKe-11. Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina telah bermula pada 7 Mei 2019 dan dijangka siap pada 6 Mac 2022. Pelaksanaan kerja-kerja fizikal di tapak adalah sebanyak 10% di mana kerja-kerja awalan sedang dilaksanakan.
Kawasan Sentosa, Stabau, Sengan, Bukit Assek, Hua Kiew, Tiong Hua, Tun Ahmad Zaidi Adruce, Pulau Dudong serta kawasan sekitarnya terletak di dalam Lembangan Sungai Batang Rajang yang terlibat dengan RTB Sibu. Banjir yang berlaku adalah disebabkan oleh saliran bandar yang tidak dapat keluar ketika aras air Batang Rajang tinggi. Dengan pelaksanaan RTB Sibu yang antaranya melibatkan pembinaan pam, secara tidak langsung kejadian banjir yang berlaku di kawasan-kawasan yang berkenaan dapat dikurangkan.
Sekian, terima kasih