Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

10 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

110

Soalan

Dato' Hasbullah bin Osman [ Gerik ] minta AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah pihak Kementerian telah menjalankan kajian berkaitan dengan prosedur atau 'Standard Operating Systems (SOP)' baru kepada pihak konsesi semasa menjalankan pembalakan agar dapat mengelakkan masyarakat setempat teraniaya terutamanya masyarakat Orang​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Jadual Kesembilan, Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa perkara-perkara berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri juga mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen mengambil hasil hutan daripada Hutan Simpanan Kekal sebagaimana peruntukan seksyen di bawah Bab 2-Lesen, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].

Kuasa Eksekutif Kerajaan Persekutuan dalam perhutanan adalah dalam hal-ehwal berkaitan latihan, kajian serta nasihat teknikal yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi tujuan pelaksanaannya.Pengusahasilan hutan dalam Hutan Simpanan Kekal dilaksanakan berdasarkan kepada Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (Natural Forest) yang dikenali sebagai MC&I (Natural Forest) di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme - MTCS). Prinsip 3 dan prinsip 4 di bawah MC&I (Natural Forest) memastikan aktiviti pembalakan turut mengambilkira hak dan kepentingan Orang Asli supaya tidak terjejas seperti berikut:

(a) Prinsip 3 berkaitan dengan hak-hak masyarakat pribumi memperuntukkan bahawa hak menurut perundangan dan adat masyarakat pribumi untuk memiliki, mengguna serta mengurus

tanah, kawasan dan sumber mereka hendaklah diiktiraf dan dihormati; dan

(b) Prinsip 4 berkaitan dengan perhubungan masyarakat dan hak-hak pekerja memperuntukkan bahawa operasi-operasi pengurusan hutan perlu mengekalkan atau meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat tempatan dan pekerja-pekerja hutan untuk jangka masa panjang.

Tuan Yang di-Pertua,

Berdasarkan Seksyen 19 (g), Akta Orang Asli 1954 memperuntukkan kuasa kepada YB Menteri yang bertanggungjawab terhadap Orang Asli untuk mengawal mana-mana penebangan hutan di Kawasan Orang Asli dan Rizab Orang Asli yang telah diwartakan di dalam Akta Orang Asli 1954 bagi memastikan hak-hak dan kepentingan Orang Asli terpelihara.

Sekian, terima kasih.​

Attachments