Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

16

Soalan

DATO' HASBULLAH BIN OSMAN  [ GERIK ]​  Minta MENTER  I AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha serta langkah Kementerian dalam memastikan simpanan bekalan air terawat mencukupi serta jaminan kualiti air terus terjamin bagi kegunaan rakyat.

Jawapan


Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan rakyat mendapat bekalan air terawat yang mencukupi dan berterusan. Ini dapat dilihat daripada peruntukan besar yang disediakan seperti RM990.4 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe10) dan meningkat kepada RM12.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe11) bagi membangunkan infrastruktur bekalan air di seluruh negara sama ada secara pinjaman ataupun geran.

2. Pelaksanaan projek-projek ini melibatkan pelbagai skop termasuk kajian untuk penerokaan sumber air baharu, pembinaan empangan dan kolam takungan, menaik taraf dan membina baru loji air, menaik taraf dan menambah rangkaian paip dan tangki simpanan. Satu lagi fokus penting ialah projek bagi menangani isu kehilangan air tidak berhasil (non revenue water (NRW). Projek-projek ini bertujuan untuk memastikan sistem bekalan air di seluruh negara dapat menampung keperluan pengguna dan seterusnya mengelakkan berlaku sebarang krisis air.

3. Tumpuan juga diberikan untuk memastikan kecukupan bekalan air terawat melalui keperluan merancang dan melaksanakan supaya kadar rizab margin bekalan air di setiap negeri mencapai 10% sehingga 15% bagi tujuan memastikan gangguan bekalan air dapat dielakkan.

4. Dari aspek pembangunan sumber air mentah pula, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah dan sedang melaksanakan beberapa projek utama iaitu:

(i) pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) bernilai RM3.9 bilion dan siap sepenuh pada Februari 2020;

(ii) pembinaan kolam takungan di loji rawatan air Sg Labu, Selangor bernilai RM 9 juta dan siap pada Disember 2018;

(iii) pembinaan Baraj Sungai Johor bernilai RM96 juta dan siap sepenuh pada 30 Mac 2017;

(iv) pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang bernilai RM1,232,700,000 yang siap sepenuh pada November 2018; dan

(v) pembinaan Empangan Kahang di Johor bernilai RM105 juta dan siap pada September 2017.

5. Sejak tahun 2010, PAAB juga turut menyediakan peruntukan berjumlah RM3.76 bilion bagi membiayai pelaksanaan 675 pakej projek bekalan air di Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kelantan yang telah menyumbang kepada peningkatan akses 
kepada bekalan air dari 91.2% pada 2010 kepada 92.8% pada 2017.

6. Sementara itu, kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai badan kawal selia sektor bekalan air negara turut meletakkan obligasi ke atas operator bekalan air untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan kewangan dalam penyediaan bekalan air kepada pengguna. Dalam hal ini, operator air dikawal selia termasuk dari aspek seperti kuantiti dan kualiti bekalan, NRW, kesinambungan bekalan air, liputan bekalan air, tekanan air dan kompetensi.

Tuan Yang Dipertua,

7. Air yang dirawat dan dibekalkan kepada orang ramai adalah mematuhi standard kualiti minimum iaitu Garis Panduan Mutu Air Minum Kebangsaan Edisi 2004 yang diterbitkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kebanyakan nilai parameter yang ditetapkan dalam standard tersebut adalah berdasarkan kepada Garis Panduan Kualiti Air yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO).

8. Bagi memastikan kualiti air sentiasa selamat dan terjamin, perkara-perkara berikut telah dilaksanakan:

(i) Audit sistem bekalan air oleh SPAN;

(ii) Pemantauan kualiti air oleh operator-operator air; dan

(iii) Pemantauan kualiti air oleh pihak ketiga iaitu KKM.

Sekian, terima kasih.​

Attachments