Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

108

Soalan

Minta AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah-langkah Kementerian mengatasi gangguan haiwan-haiwan liar seperti kera, khinzir hutan dan gajah yang merosakkan ladang tanaman serta penempatan penduduk di kawasan pedalaman.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sentiasa komited dalam menangani konflik gangguan hidupan liar seperti babi hutan, kera dan gajah.
Di antara langkah dan tindakan yang sedang dan telah diambil oleh pihak PERHILITAN bagi mengatasi masalah konflik babi hutan dan kera terutama di kawasan pertanian adalah seperti berikut:

(i) Memasang perangkap babi hutan dan kera di kawasan berlaku konflik;

(ii) Memberikan khidmat nasihat kepada pengadu supaya menjaga kebersihan kebun bagi membantu mengurangkan konflik gangguan hidupan liar;

(iii) Menasihatkan pemilik kebun dan kawasan pertanian supaya menyelenggara pagar di sekeliling kawasan kebun supaya tidak dimasuki oleh babi hutan;

(iv) Menangkap dan memindahkan kera-kera yang menganggu kawasan pertanian; dan

(v) Menjalankan operasi bersepadu membasmi musuh tanaman dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung.

Bagi mengurangkan aduan konflik gajah, beberapa tindakan sedang dan telah diambil oleh pihak PERHILITAN seperti berikut;

(i) Pemantauan dan rondaan dilaksanakan di kawasan konflik yang bersempadan dengan hutan. Tindakan tembak halau juga dijalankan bagi menghalau gajah masuk semula ke kawasan hutan berdekatan;

(ii) Mengadakan program kesedaran awam secara berkala, sesi dialog dan perbincangan bersama masyarakat yang bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman penduduk dalam pengurusan konflik manusia-gajah dan kaedah pengurusan kebun yang betul terutama bagi kawasan yang bersempadan dengan kawasan hutan;

(iii) Program pemasangan lampu Light-emitting diode (LED) di kawasan hotspot gangguan gajah yang bersempadan antara kawasan ladang dan hutan simpan;

(iv) Memasang satelit kolar sebagai Sistem Amaran Awal pergerakan gajah;

(v) Merancang operasi tangkap-pindah gajah di kawasan kampung terbabit sekiranya berlaku kerosakan yang serius kepada kebun, ladang serta harta benda penduduk kampung; dan

(vi) Membina jajaran Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di kawasan Lawit di Daerah Hulu Terengganu sepanjang 34km, Pelung sepanjang 32km dan Payong sepanjang 28km di Daerah
Setiu bagi memastikan kawasan perladangan, kebun dan perkampungan selamat dari gangguan gajah.

Sekian, terima kasih.​


Attachments