Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

23 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

19

Soalan

PUAN ASMAK BINTI HUSIN​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan bentuk pampasan kepada Kerajaan negeri Kelantan yang kehilangan pendapatan RM250 juta setahun daripada kawasan hutan yang dikekalkan kesan komitmen Malaysia terhadap Deklarasi Rio De Janeiro 1992.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Hutan memainkan peranan yang penting dalam memberikan perkhidmatan ekosistem seperti menjamin kestabilan alam sekitar, membekalkan sumber makanan, jaminan bekalan air bersih, bekalan oksigen serta menyimpan stok karbon yang penting dalam mengimbangi perubahan iklim dunia. Sehubungan itu, semasa Sidang Kemuncak Bumi ke-22 di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992, YAB Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk mengekalkan
2
sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara di bawah litupan pokok-pokok dan kawasan berhutan.
Jadual Kesembilan, di bawah Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang mempunyai hak mutlak ke atas hasil hutan. Bidang kuasa Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli iaitu melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia adalah terhad kepada memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan, menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan serta menggalakkan industri berasas kayu dan perdagangan kepada Kerajaan Negeri melalui Pengarah Perhutanan Negeri masing-masing.
Bagi memastikan hutan dapat memainkan peranannya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem untuk kepentingan rakyat, kerajaan negeri wajar mengekalkan dan memelihara kawasan tadahan air sedia ada serta mewartakan kawasan-kawasan hutan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan tadahan air. Selain itu, kerajaan negeri juga perlu memastikan pengusahasilan dilaksanakan berpandukan kepada Catuan Tebangan Tahunan di bawah RMKe-11 seperti yang telah diputuskan dalam Majlis Tanah Negara.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sejumlah RM60 juta pada tahun 2019 untuk pengagihan kepada negeri-negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu. Perkara ini telah diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018. Kaedah dan cadangan penyaluran insentif tersebut telah dibentangkan oleh Kementerian Kewangan di Majlis Kewangan Negara pada 27 Mei 2019 dan kesemua peruntukan tersebut telahpun disalurkan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan keputusan mesyuarat tersebut.
3
Pada masa ini, Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan Dana antarabangsa melalui mekanisma Reducing Emissions From Deforestation And Forest Degradation (REDD) Plus di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC). REDD Plus merupakan satu mekanisme insentif yang bertujuan menggalakkan negara-negara membangun mengurangkan kadar pelepasan GHG daripada aktiviti penyahhutanan dan kemerosotan hutan serta meningkatkan kadar penyerapan GHG daripada aktiviti pengurusan hutan secara berkekalan. Bagi mengakses dana ini, terdapat beberapa keperluan oleh UNFCCC yang perlu dipenuhi. Kementerian akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) dalam perkara ini.
Sekian, terima kasih.​


Attachments