Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

56

Soalan

YB DR. AHMAD AZAM BIN HAMZAH​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah status dan pelan jangka panjang penstrukturan semula perkhidmatan air dalam memastikan masalah bekalan air bersih dapat diselesaikan dengan segera bagi memenuhi keperluan kebanyakan negeri di Malaysia

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air adalah merupakan suatu inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula industri perkhidmatan air di peringkat negeri. Langkah ini bertujuan memastikan kemapanan jangka masa panjang (full cost recovery) dan mewujudkan jaminan kelangsungan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada pengguna, pada kadar tarif yang munasabah.

2. Sehingga kini sebanyak 8 buah negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan telah menandatangani perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air. Manakala, usaha sedang dipergiatkan bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air bagi Negeri Kedah, Pahang dan Terengganu dalam masa terdekat.

3. Penstrukturan yang dilaksanakan ini membantu pemulihan industri bekalan air di negara ini melalui langkah-langkah berikut :
i) Pengambilalihan pinjaman-pinjaman bekalan air Kerajaan Negeri oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan penyusunan semula tempoh bayaran melalui sewa pajakan selama 45 tahun. Oleh yang demikian pinjaman ini dapat diselesaikan secara teratur pada kadar peratus bayaran yang berpatutan;

ii) Penyediaan pembiayaan modal (CAPEX) yang kompetitif oleh PAAB bagi menambah baik kecekapan serta kualiti perkhidmatan air meliputi skop seperti pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji rawatan air sedia ada dan penggantian paip/sistem agihan.

iii) Operator air beroperasi berdasarkan “asset light model” dan dapat menumpukan kepada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan; dan

iv) Kawal selia SPAN yang lebih berkesan ke atas prestasi perkhidmatan bekalan air berdasarkan petunjuk prestasi utama yang ditetapkan seperti liputan bekalan air, kualiti air, tekanan air, kecukupan air dan perkhidmatan pelanggan,

4. Langkah penstrukturan ini juga perlu disokong dengan kemapanan kewangan operator air. Oleh yang demikian Mekanisme Penetapan Tarif Air (Tariff Setting Mechanism-TSM) telah dibangunkan bagi menstrukturkan komponen tarif dan menyelaras kadar tarif air semasa agar ia mencerminkan kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air. Kejayaan pelaksanaan TSM akan meningkatkan keupayaan kewangan operator air dalam melaksanakan projek-projek menambah baik infrastruktur sistem bekalan air dan seterusnya berupaya meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada.​


Attachments