Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

31 July 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

52

Soalan

DATUK SR. HAJI HANAFI BIN HAJI MAMAT​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah tindakan Kerajaan untuk mengawal penggunaan bahan kimia berbahaya seperti Sianida (Cyanide) dalam teknologi Perlombongan Emas di Malaysia.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengawal penggunaan bahan kimia berbahaya dalam industri perlombongan emas dan mineral-mineral lain melalui pengenaan syarat kelulusan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) di bawah Akta Pembangunan Mineral (APM) 1994 dan aktiviti penguatkuasaan yang dilaksanakan semasa lombong beroperasi.

2. Dalam pengendalian bahan kimia berbahaya ini, pelombong disyaratkan mengikut piawaian antarabangsa seperti:
i) mempunyai rekabentuk loji yang baik;
ii) melaksanakan amalan operasi yang baik;
iii) menggunakan peralatan perlindungan pekerja dan peralatan kecemasan;
iv) mempunyai dan mengamalkan prosidur latihan dan kecemasan yang baik;
v) mempunyai tapak kerja yang selamat dan bersih; dan
vi) menjalankan pemantauan berterusan.
Penggunaan selamat bagi sianida dalam industri perlombongan adalah tertakluk kepada pengurusan penggunaan sianida sebagaimana yang dinyatakan di dalam The International Cyanide Management Code (ICMC) yang diterbitkan dalam tahun 2016 oleh International Cyanide Management Institute di bawah penyeliaan United Nations Environment Programme (UNEP) dan International Council on Metals and the Environment (ICME).

3. Selain JMG dan Jabatan Alam Sekitar, terdapat beberapa agensi kerajaan lain yang turut menguatkuasakan undang-undang bagi penggunaan bahan kimia sianida ini seperti Jabatan Kesihatan Negeri yang mengawal dari segi pengeluaran lesen kepada pembeli dan penjual yang dilesenkan sahaja dengan syarat-syarat tertentu. Hal ini demikian kerana bahan kimia sianida adalah dikategorikan sebagai bahan kimia berjadual di bawah Akta Racun 1952 yang memerlukan Lesen Racun Jenis B.

4. Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) juga turut memantau segala aktiviti industri termasuklah kilang memproses mineral emas bagi memastikan setiap pekerja yang bekerja di dalam kilang berkenaan dapat bekerja dalam keadaan yang selamat dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada mana-mana individu di dalam atau di sekeliling kawasan kilang.

5. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kawalan Terhadap Bahaya Kemalangan Besar Dalam Perindustrian) 1996 turut mengawal selia penggunaan bahan kimia sianida dalam pemprosesan mineral emas. Melalui peraturan ini, pihak pelombong perlu mengemukakan dan mendapatkan kelulusan laporan Control of Industrial Major Hazard (CIMAH) yang disediakan oleh pihak konsultan berdaftar dengan JKKP.
6. Di dalam laporan ini, turut dinyatakan punca-punca yang dikenalpasti boleh menyumbang kepada kemalangan industri hasil dari penggunaan sianida tanpa kawalan serta langkah-langkah respon kecemasan (Emergency Response Plan) dan langkah kawalan yang perlu dipatuhi oleh pihak syarikat dari semasa ke semasa​


Sekian, terima kasih

Attachments