Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

26

Soalan

DATUK SERI DR. ADHAM BIN BABA [TENGGARA] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan bagaimana Jabatan Perhilitan menyelesaikan masalah gajah-gajah liar yang berkeliaran di kawasan Kampung Lukut dan Kampung Temenin di Parlimen Tenggara yang sering mengganggu dan memusnahkan tanaman penduduk.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengambil tindakan untuk mengurangkan dan menyelesaikan konflik gajah yang berlaku di Kampung Lukut dan Kampung Temenin di Parlimen Tenggara, Johor melalui langkah-langkah seperti berikut:

(i) Jabatan PERHILITAN Negeri Johor sentiasa menjalankan rondaan, pemantauan dan tembak halau di kawasan hotspot konflik yang berhampiran dengan Hutan Simpan Panti. Sebanyak 79 tindakan rondaan dan pemantauan telah dijalankan bermula Januari sehingga Mei 2019;

(ii) Sebanyak 16 ekor gajah konflik telah berjaya ditangkap pindah dari tahun 2014 hingga 2018 di Daerah Kota Tinggi. Pada tahun ini, Jabatan PERHILITAN Negeri Johor telah berjaya menangkap dua (2) ekor gajah di Kampung Seluyut;

(iii) Jabatan PERHILITAN juga mengadakan program kesedaran awam menerusi sesi dialog dan perbincangan bersama masyarakat yang bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman penduduk dalam pengurusan konflik manusia-gajah dan kaedah pengurusan kebun yang betul terutama bagi kawasan yang bersempadan dengan kawasan hutan;

(iv) Menubuhkan Santuari Gajah Johor (JES) sebagai pusat konservasi gajah di Negeri Johor dan juga menyediakan padang ragut khusus untuk populasi gajah di Hutan Simpan Panti yang bertujuan mengurangkan konflik manusia-gajah di kawasan berhampiran;

(v) Memasang tiga (3) unit kolar satelit gajah sebagai Sistem Amaran Awal bagi memantau pergerakan kumpulan gajah yang sering menimbulkan konflik di dalam Negeri Johor;

(vi) Membina jajaran Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di Kg. Seri Lukut dan Kg. Teminin sepanjang 15 km dengan anggaran kos sebanyak RM1 juta;

 

(vii) Menambah lima (5) unit bilangan kolar satelit pada tahun ini bagi memantau pergerakan gajah; dan

(viii) Jabatan PERHILITAN akan terus memantau populasi gajah di mana operasi tangkap-pindah gajah akan dijalankan jika terdapat keperluan.

Sekian, terima kasih.

Attachments