Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

336

Soalan

PUAN NOR AZRINA BINTI SURIP [ MERBOK ] Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI perkembangan penstrukturan semula tarif air di setiap negeri dan langkah Kementerian bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan air dijaga dengan baik supaya tidak lagi berlaku gangguan bekalan air.

Jawapan

Tuan Yang di- Pertua,

1. Cadangan pelaksanaan Mekanisme Penetapan Tarif Air (Tariff Setting Mechanism) atau ringkasnya TSM adalah bertujuan untuk mewujudkan mekanisme penetapan tarif air yang sistematik, telus serta adil bagi manfaat kita semua. TSM mempunyai dua ciri penting. Ciri pertama ialah penyeragaman struktur tarif sedia ada, dan ciri kedua ialah pelarasan kadar tarif sedia.

2. Purata kadar tarif air yang rendah pada masa ini iaitu RM1.38 bagi setiap 1,000 liter tidak melambangkan kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air RM2.31 bagi setiap 1,000 liter. Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan akan meletakkan operator air dalam kedudukan kewangan yang lemah. Kesannya, perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada pengguna tidak dapat diberikan.

3. Dari segi perkembangan ke arah melaksanakan TSM, saya ingin memaklumkan bahawa sesi konsultasi dengan operator air, kerajaan-kerajaan negeri serta wakil pengguna telah dilaksanakan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Berikutnya, cadangan pelaksanaan TSM akan dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

4. Kementerian sentiasa komited dalam memastikan pengguna dapat menikmati perkhidmatan air yang selamat secara berterusan. infrastruktur dan kemudahan air dijaga dengan baik supaya tidak lagi berlaku gangguan bekalan air.

5. Oleh yang demikian, pelaksanaan TSM adalah merupakan suatu strategi penting bagi meningkatkan keupayaan kewangan operator air untuk melaksanakan projek-projek menambah baik infrastruktur sistem bekalan air seperti pembinaan loji rawatan air baharu, menaik taraf loji rawatan sedia ada, menggantikan paip uzur dan kerja-kerja penyelenggaraan peralatan.

6. Perkara ini seterusnya akan dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada oleh operator seperti mengurangkan kekerapan gangguan bekalan air, menghasilkan air terawat berkualiti yang mencapai piawaian yang ditetapkan oleh KKM, tekanan air yang lebih baik dan perkhidmatan pelanggan yang lebih memuaskan.

7. Di samping itu, SPAN melalui mekanisme kawal selia di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) juga sentiasa menjalankan pemantauan yang rapi ke atas operasi dan pencapaian operator melalui mesyuarat kawal selia secara berkala, audit serta pengenaan petunjuk prestasi utama yang ketat bagi memastikan kualiti perkhidmatannya yang terjamin demi manfaat dan kepentingan rakyat dalam jangka masa panjang.

Sekian, terima kasih.

Attachments