Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

36

Soalan

DR. AHMAD AZAM BIN HAMZAH Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan mengenai kes kematian 3 ekor gajah baru-baru ini, di Johor. Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang?.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memandang serius kes kematian 3 ekor gajah di Johor baru-baru ini. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia

Jabatan PERHILITAN telah menjalankan bedah siasat ke atas ketiga-tiga gajah tersebut pada 4 Jun 2019. Sampel berkaitan daripada bedah siasat tersebut dihantar ke Jabatan Kimia pada 7 Jun 2019.

Penemuan semasa bedah siasat bagi semua gajah tersebut adalah sama iaitu tanda-tanda yang konsisten bagi kes keracunan akibat memakan atau termakan racun. Walau bagaimanapun, laporan rasmi bagi analisa racun daripada makmal jabatan kimia masih lagi belum diterima pada masa ini, oleh yang demikian tentatif kematian buat masa ini adalah disebabkan keracunan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia pada masa ini telah menyediakan National Elephant Conservation Plan (NECAP) bagi pengurusan Gajah di Semenanjung Malaysia. Antara program yang sedang dilaksana adalah:

(i) Mengenal pasti kumpulan gajah mengikut pengenalan (ID) di seluruh negeri-negeri yang mempunyai populasi gajah bagi tujuan pemantauan dan pengurusan konflik;

(ii) Program pengawalan berkala Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES)/Monitoring the Illegal Killing of Elephants (MIKE) bagi tujuan pengesanan dan pelaporan pemburuan haram gajah;

(iii) Sesi konsultasi dan khidmat nasihat bagi pengurusan konflik gajah bersama penduduk kampung, pekebun dan syarikat perladangan; dan

(iv) Program Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi mengurangkan impak akibat konflik gajah.

Bagi mengelakkan kes seumpamanya daripada berulang, Jabatan PERHILITAN akan mengambil tindakan seperti berikut:

(i) Memasang kolar satelit bagi kumpulan gajah yang telah dikenal pasti bagi memantau pergerakan kumpulan gajah tersebut dan seterusnya mengambil tindakan pencegahan sekiranya kumpulan tersebut menghampiri kawasan kampung atau pertanian;

(ii) Meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan keliaran gajah bagi mencegah konflik gajah-manusia; dan

(iii) Mengadakan lebih banyak sesi konsultasi dan khidmat nasihat bagi pengurusan konflik gajah bersama penduduk kampung, pekebun dan syarikat perladangan bagi meningkatkan keberkesanan mitigasi konflik gajah-manusia.

Kesemua inisiatif di bawah pelan tindakan NECAP ini sedang dipantau oleh KATS dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan (NGO), universiti dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan. NECAP juga akan dikaji semula dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan situasi semasa terutamanya yang berkaitan dengan keupayaan Jabatan PERHILITAN seperti bilangan anggota dan peruntukkan yang mencukupi.

Sekian, terima kasih.

Attachments