Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

58

Soalan

PUAN SITI FATIMAH BINTI YAHAYA Minta KEMENTERIAN AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah Kerajaan akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap permintaan Kerajaan Negeri Pahang untuk mendapatkan geran tahunan sebagai pampasan kerana merizabkan hutan simpan seluas kira-kira 3.6 juta hektar seperti mana konsep "Forest Ecological Compensation Programme" yang diamalkan di negara China ataupun "Payment for Ecosystem Services" seperti di Amerika Syarikat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian mengucapkan terima kasih di atas cadangan yang diberikan berkaitan konsep "Forest Ecological Compensation Programme" dan "Payment for Ecosystem Services" dan akan mempertimbangkan perkara ini sewajarnya.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sejumlah RM60 juta pada tahun 2019 untuk pengagihan kepada negeri-negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu. Perkara ini telah diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018. Kaedah dan cadangan penyaluran insentif tersebut telah dibentangkan di Majlis Kewangan Negara pada 27 Mei 2019 dan kesemua peruntukan tersebut telahpun disalurkan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan keputusan mesyuarat tersebut.

Pada masa ini, Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan Dana antarabangsa melalui mekanisma Reducing Emissions From Deforestation And Forest Degradation (REDD) Plus di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC). REDD Plus merupakan satu mekanisme insentif yang bertujuan menggalakkan negara-negara membangun mengurangkan kadar pelepasan GHG daripada aktiviti penyahhutanan dan kemerosotan hutan serta meningkatkan kadar penyerapan GHG daripada aktiviti pengurusan hutan secara berkekalan. Bagi mengakses dana ini, terdapat beberapa keperluan yang perlu dipenuhi. Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) dalam perkara ini.

Sekian, terima kasih.

Attachments