Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

07 October 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

9

Soalan

​YBTM JAWAB​

TUAN MUSLIMIN BIN YAHAYA [SUNGAI BESAR]​minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah cadangan Kementerian untuk mengembalikan keyakinan rakyat bahawa pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia diurus secara mampan, bersih dan berintegriti.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) komited dalam memastikan pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia diuruskan secara mampan selaras dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan.
Untuk makluman Yang Dipertua, tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut Perkara 74(2) Jadual Ke-Sembilan Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa KATS melalui JPSM adalah sebagai pembuat dasar dan memberikan khidmat nasihat teknikal mengenai pengurusan, pembangunan, penguatkuasaan, penyelidikan serta latihan dalam sektor perhutanan.

Untuk makluman Yang Dipertua, bagi jangka masa pendek, langkah-langkah berikut telah dilaksanakan:-

(i) KATS sentiasa bekerjasama dengan Kementerian-kementerian lain seperti KDN dan MESTECC, Kerajaan-kerajaan Negeri dan orang awam dalam aktiviti membanteras penjenayah alam sekitar. KATS melalui JPSM juga telah menggunakan teknologi terkini seperti penggunaan imej satelit dan drone dalam aktiviti penguatkuasaan hutan;

(ii) KATS dan JPSM kini telah mempunyai Unit Integriti sendiri yang diketuai oleh pegawai daripada SPRM bagi memantau aduan, salah guna kuasa dan rasuah dalam sektor perhutanan. KATS juga sentiasa menjalinkan hubungan dan kerjasama yang rapat dengan pihak SPRM bagi meningkatkan imej dan integriti KATS serta agensi-agensi lain di bawah KATS; dan

(iii) Sebanyak lapan (8) negeri di Semenanjung Malaysia yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak telah diwajibkan untuk memperolehi Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I). Sijil ini adalah sebagai kayu pengukur pelaksanaan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mencerminkan perlaksanaan pengurusan hutan mampan yang diamalkan di negara kita.Manakala, untuk jangka masa panjang, KATS melalui JPSM sedang melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) [Akta 313] sedia ada. Tujuan pindaan Akta 313 adalah untuk :-

(i) memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK) melalui kaedah berikut:
Pertama : memperuntukkan keperluan untuk diadakan penyiasatan awam oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi keputusan mewarta keluar Hutan Simpanan Kekal dalam Akta 313 sebagai punca kuasa perundangan di mana Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat

Kaedah Penyiasatan Awam bagi menjalankan tujuan dan maksud tersebut di mana peruntukan ini melibatkan pindaan bagi Seksyen 11, Akta 313.
Kedua: penyiaran warta keluar dan warta kawasan ganti hendaklah dibuat serentak di mana peruntukan ini melibatkan pindaan bagi Seksyen 12, Akta 313.
Ketiga: kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diwarta keluar hendaklah diganti dan mempunyai keluasan dan nilai setara serta mengenakan kos memulihkan kawasan ganti di mana peruntukan ini melibatkan pindaan bagi Seksyen 13, Akta 313 .

(ii) memantapkan litupan warta pegawai penguatkuasaan untuk melaksanakan penguatkuasaan Akta 313 di negeri-negeri;

(iii) meningkatkan kadar denda,hukuman dan penalti; dan

(iv) mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta 313.

Kementerian Kewangan (MOF) telah memperuntukkan sejumlah RM 60 juta sebagai insentif dan untuk meningkatkan kawasan perlindungan. Agihan ini telah dibincangkan dan diluluskan di peringkat mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 27 Mei 2019.

Sekian, terima kasih.​

Attachments