Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan beberapa program bagi Kolam Nanyang. Antara program yang telah dilaksanakan pada tahun 2018 dan 2019 adalah:
i) Membersih sampah sarap yang terdapat di dalam kolam berkenaan
ii) Membina perangkap sampah jenis Log Boom di bahagian hilir kolam.
JPS merancang untuk menaiktaraf perangkap sampah di bahagian hulu Kolam Nanyang untuk mempertingkatkan keupayaan kolam bagi menakung atau mengumpul sampah dari sebelah hulu Sungai Jinjang.
Di samping itu, kawalan di punca (control at source) perlu dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) - DBKL bagi mengurangkan sampah yang dibuang dan mengalir masuk ke Sungai Jinjang seterusnya ke Kolam Nanyang. Ini kerana. sekiranya masalah ini tidak ditangani lebih awal, besar kemungkinan sumber air kita akan sentiasa tercemar dan secara tidak langsung akan menjadi punca tersebarnya wabak penyakit.
Walaubagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi sama-sama menjaga kebersihan kolam takungan ini. Warga setempat perlu diberi pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan menjaga sumber air di kawasan masing-masing agar tahap kesihatan mereka dapat ditingkatkan.
Sekian, terima kasih.