Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

22 October 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

1

Soalan

​ YBM JAWAB

TUAN CHOW KON YEOW  [ TANJONG ]​  Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan kaedah sisa berjadual dari loji rawatan air dikendalikan kini. Adakah Kerajaan Pusat bercadang mengubah undang-undang alam sekitar sedia ada supaya sisa dari loji rawatan air tidak diklasifikasikan sebagai sisa berjadual dan adakah terdapat cadangan untuk mengitar semula sisa berkaitan bagi menghasilkan produk-produk baru khususnya dalam bidang pembinaan sebagaimana dipraktikkan negara Netherlands.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, penguatkuasaan Jadual Pertama Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Alam Sekitar 1974 (Akta 127), Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mensyaratkan bahawa sisa enap cemar air dikelaskan sebagai buangan terjadual. Pada masa ini, sisa enap cemar air dari loji rawatan air dilupuskan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar di mana ia hanya boleh dilupuskan atau diolah di premis yang ditetapkan di bawah peraturan ini seperti berikut:
(i) Cenviro Sdn. Bhd. di Bukit Nanas, Negeri Sembilan;
(ii) tapak pelupusan sanitari (sanitary landfill); dan
(iii) tapak pelupusan selain (i) dan (ii) dengan mendapat kelulusan JAS terlebih dahulu.

Adalah merupakan hasrat Kementerian supaya sisa enap cemar air ini diklasifikasikan semula sebagai bahan bukan buangan terjadual. Terdapat beberapa kajian saintifik di Malaysia menunjukkan bahawa sisa enap cemar air tidak wajar diklasifikasikan sebagai bahan buangan terjadual kerana ia tidak mempamerkan ciri-ciri bahan terjadual seperti toksik, menghakis, mencucuh dan reaktif. Malahan, di negara-negara yang tidak mengelaskan sisa enap cemar air sebagai bahan buangan terjadual, kitar semula sisa enap cemar air dan penggunaannya adalah meluas seperti tanah pertanian dan taman, produk-produk seramik, bahan kejuruteraan awam (backfill material), bahan mentah simen dan bahan pembinaan (bata dan backfill material).

Terkini, Malaysia-Netherlands Symposium And Workshop On Sustainable Water Treatment Plant Residuals Management In Malaysia akan diadakan pada 26 hingga 28 November 2019 bagi membincangkan potensi sisa enap cemar air dan juga perkongsian pengurusan sisa enap cemar air oleh Belanda.
Kementerian akan berbincang dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) untuk pertimbangan berhubung pengklasifikasian semula sisa enap cemar air ini.

Sekian, terima kasih.


Attachments