Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

22 October 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

5

Soalan

​DR. AZMAN BIN ISMAIL [KUALA KEDAH]​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan komitmen dan usaha Kerajaan di dalam memastikan bahawa penyahhutanan adalah terkawal dan tidak menjadi ancaman kepada azam Malaysia untuk mengekalkan hutan pada kadar sekurang-kurangnya 50%.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sentiasa komited dalam memastikan pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia diuruskan secara mampan selaras dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut Perkara 74(2) Jadual Ke-Sembilan Perlembagaan Persekutuan. KATS melalui JPSM terlibat dalam penggubalan dasar dan memberikan khidmat nasihat teknikal mengenai pengurusan, pembangunan, penguatkuasaan, penyelidikan serta latihan dalam sektor perhutanan.

Kebanyakan aktiviti penyahhutanan berlaku disebabkan oleh aktiviti pembangunan tanah di kawasan berstatus Tanah Kerajaan atau Tanah Beri Milik. Penyahhutanan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah terkawal dan hanya melibatkan kawasan pembangunan untuk kepentingan awam bagi tujuan utiliti dan bukan utiliti seperti empangan, talian penghantaran elektrik, lebuh raya dan landasan keretapi. Bagaimanapun, pihak Kerajaan Persekutuan telah berusaha untuk meminimakan penyahhutanan dalam HSK melalui Majlis Tanah Negara (MTN) dengan menggesa pihak Kerajaan Negeri untuk mengelakkan pembangunan utiliti dan bukan utiliti dalam kawasan HSK di masa hadapan.​

Selain daripada itu, KATS melalui JPSM juga telah mengambil inisiatif bagi memastikan penyahhutanan adalah terkawal. Untuk jangka masa pendek, langkah-langkah yang telah dilaksanakan adalah:-

(i) KATS sentiasa bekerjasama dengan Kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kerajaan-kerajaan Negeri dan orang awam dalam aktiviti membanteras penjenayah alam sekitar. KATS melalui JPSM juga telah menggunakan teknologi terkini seperti penggunaan imej satelit dan drone dalam aktiviti penguatkuasaan hutan;

(ii) KATS dan JPSM kini telah mempunyai Unit Integriti sendiri yang diketuai oleh pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau aduan, salah guna kuasa dan rasuah dalam sektor perhutanan. KATS juga sentiasa menjalinkan hubungan dan kerjasama yang rapat dengan pihak SPRM bagi meningkatkan imej dan integriti KATS serta agensi-agensi lain di bawah KATS;

(iii) Sebanyak lapan (8) negeri di Semenanjung Malaysia yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak. Semua negeri ini telah diwajibkan untuk memperolehi Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I). Sijil ini adalah sebagai kayu pengukur pelaksanaan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mencerminkan perlaksanaan pengurusan hutan mampan yang diamalkan di negara kita; dan​

(iv) KATS juga telah mengenalpasti kawasan Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang sesuai diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal iaitu seluas 133,036 hektar. Selain itu, dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri, kawasan tanah-tanah kerajaan berhutan lain yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal akan dikenalpasti.
Manakala, untuk jangka masa panjang, KATS melalui JPSM sedang melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) [Akta 313] sedia ada. Tujuan pindaan Akta 313 adalah untuk :-

(i) memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal dengan mencadangkan pindaan pada seksyen tertentu berkaitan pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). Di samping itu, KATS melalui JPSM juga telah menyediakan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Penyeragaman Pewartaan Keluar Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia;

(ii) memantapkan litupan warta pegawai penguatkuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan Akta 313 di negeri-negeri;

(iii) meningkatkan kadar denda, hukuman dan penalti; dan

(iv) mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta 313.

Sekian, terima kasih.


Attachments