Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 November 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

13

Soalan

​​​

TUAN STEVEN CHOONG SHIAU  YOON [ TEBRAU ]​  Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apa sebabnya loji-loji rawatan kumbahan dan sistem-sistem pembetungan dalam kawasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB) masih belum diambil alih oleh Indah Water Konsortium (IWK) dan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan pusat untuk memastikan MPPG dan MBJB tidak berkurangan dana untuk membuat kerja penyelenggaraan semua loji rawatan kumbahan dan sistem pembetungan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Berdasarkan kepada Seksyen 3(2) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), Kerajaan Persekutuan hendaklah terus mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara yang berhubungan dengan sistem pembetungan dan perkhidmatan pembetungan di seluruh Malaysia. Manakala Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) selaku pemegang konsesi seperti yang termaktub di dalam Seksyen 191 (1) Akta 655 sebagai orang diberi kuasa untuk menjalankan perkhidmatan pengoperasian dan penyelenggaraan sistem pembetungan termasuk di dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

2. Kerajaan mengakui keperluan pengambilalihan operasi pembetungan di kawasan MBJB dan MPPG demi memastikan perkhidmatan pembetungan yang sistematik dapat dinikmati oleh penduduk di kedua-dua kawasan tersebut. Oleh itu, satu perbincangan telah diadakan bersama pihak YAB Menteri Besar Johor pada 19 Ogos 2019. Dalam pertemuan tersebut, Kerajaan Negeri Johor telah menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan pengambilalihan ini.
3
3. Susulan itu, satu surat bagi menegaskan pentingnya pengambilalihan ini telah dikemukakan kepada YAB Menteri Besar Johor pada 21 Ogos 2019. Adalah dijangkakan Kerajaan Negeri Johor akan mengemukakan maklum balas terhadap perkara ini dalam tempoh masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Pada masa ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih memberi kuasa kepada kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu MBJB dan MPPG untuk melaksanakan pengoperasian perkhidmatan pembetungan bagi tempoh interim. Kerajaan mengakui kedua-dua PBT tersebut mempunyai kekangan kewangan untuk menyelenggara loji rawatan kumbahan dengan sempurna. Oleh itu, pengambilalihan operasi pembetungan di MBJB dan MPPG ini akan membuka ruang bagi perbelanjaan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf loji-loji rawatan kumbahan di kedua-dua kawasan tersebut supaya ia mematuhi piawaian pelepasan efluen yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sekian, terima kasih


Attachments