Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 November 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

35

Soalan

​TUAN CHOW KON YEOW [ TANJONG ]​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sama ada Hutan Simpan Ulu Muda telah diwartakan sepenuhnya. Jika tidak, nyatakan sebabnya dan bilakah Kerajaan Pusat akan berbuat demikian ekoran kepentingannya dalam pembekalan air kepada negeri-negeri utara Semenanjung khususnya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Kedah telah mewartakan keseluruhan Hutan Simpan Ulu Muda yang terdiri daripada Hutan Simpan Ulu Muda Kedah Tengah dan Hutan Simpan Ulu Muda Kedah Selatan seluas 106,418 hektar sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] semenjak 24 September 1932.

Kawasan hutan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal ini selanjutnya telah dibuat pengelasan di bawah Seksyen 10(1), Akta 313 oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah di mana seluas 16,299 hektar telah dikelaskan sebagai kawasan Hutan Tadahan Air dan 11,118 hektar lagi telah dikelaskan sebagai kawasan Hutan Taman Negeri. Dalam hubungan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana telah mewartakan pengelasan hutan tersebut pada tahun lalu melalui Warta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman No. 341 bertarikh 10 Mei 2018. Adalah diharapkan melalui pewartaan pengelasan ini, kawasan yang terbabit dapat dilindungi dan dipelihara daripada sebarang aktiviti yang dapat menjejaskan fungsi yang dimainkan oleh kawasan tersebut.

Sekian, terima kasih.


Attachments