Tuan Yang di-Pertua,
Banjir di Bandar Sibu disebabkan oleh gabungan paras air laut yang tinggi yang berlaku serentak dengan air hujan dari hulu menyebabkan kedua-dua Sungai Batang Rajang dan Batang Igan melimpah. Oleh itu, pembinaan Empangan Bakun sahaja tidak mencukupi untuk memberi kesan yang signifikan ke atas keadaan banjir berterusan di Sibu.
Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Chemsain pada tahun 2005, pengurangan paras air yang disebabkan oleh pembinaan Empangan Bakun yang diukur di Bandar Sibu adalah hanya sekitar 200mm. Ini dibuktikan lagi dengan beberapa kejadian banjir yang berlaku di Sibu. Banjir terbaharu dalam projek RTB Sibu Fasa 3 adalah pada bulan Mac 2017. Sesetengah bahagian Sibu kini telah tidak berisiko banjir disebabkan adanya stesen pam yang telah siap dan telah terbukti sangat berkesan dalam mencegah kejadian banjir daripada berlaku. Oleh itu, adalah penting bagi semua stesen pam yang dicadangkan bersama dengan flood wall mengikut Pelan Induk yang diluluskan dilaksanakan sepenuhnya untuk memastikan Sibu bebas daripada risiko kejadian banjir.
Bagi aspek penambahbaikan sistem perparitan di kawasan Bandar pula, ianya adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagaimana Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Sekian, terima kasih.