Tuan Yang di-Pertua,
Projek Pembesaran Empangan Mengkuang Fasa 2B iaitu pemasangan paip air mentah bergaris pusat 1600mm sepanjang 6.85km dari Rumah Pam Mak Sulong, Daerah Seberang Perai Tengah ke Terusan Sungai Dua, Daerah Seberang Perai Utara Negeri Pulau Pinang masih dalam proses pengambilan balik tanah sebanyak 13 lot. Dijangka projek ini akan ditender pada bulan November 2019 dan dijadualkan untuk siap pada tahun 2021.
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang masih enggan menerima projek Pembesaran Empangan Mengkuang meskipun Fasa 1 dan Fasa 2A telah disiapkan. Malahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenakan pelbagai syarat kepada Kementerian.
Bagi memastikan projek ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat Pulau Pinang, Kementerian telah berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan seperti mendapatkan kelulusan peruntukan projek pembinaan Ampang Jajar (baraj) baru di Rantau Panjang, Seberang Perai Utara sebanyak RM200 juta di dalam Rolling Plan ke 4, RMKe-11 daripada Kerajaan Pusat.
Kajian pembinaan baraj ini akan turut merangkumi kajian keperluan pelaksanaan Fasa 2C Pembinaan Rumah Pam Baru di Terusan Sungai Dua/Lahar Yooi.
Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah pun memberi kelonggaran kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli membiayai kos pengepaman sehingga 16 November 2019 sahaja. Mengikut dasar semasa, kos operasi bagi semua empangan yang sudah siap dibina perlu dibayar oleh operator air, termasuk kos pengepaman. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan semua projek pembangunan dilaksanakan mengikut prosedur dan dasar sedia ada serta prestasi kewangan negara. Kementerian berharap agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat menerima Projek Pembesaran Empangan Mengkuang ini dalam kadar segera.
Sekian, terima kasih.