Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Air

Nombor Soalan

380

Soalan

TUAN SHAHARIZUKIRNAIN BIN ABD. KADIR [SETIU] ​Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah langkah yang diambil bagi memulihkan kembali sungai yang berada di tahap kritikal memandangkan mengikut laporan, terdapat 25 sungai Kelas V pada tahun 2018 berbanding satu sahaja pada 2017.   


Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,  

1. Perkara berkaitan dengan pengurusan sumber air terletak di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Setiap negeri mempunyai perundangan berkaitan sumber air yang tersendiri termasuk hal-hal berkaitan dengan larangan pencemaran di kawasan sumber air.  

2. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggalakkan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu/ Intergated River Basin Management (IRBM). Ia merupakan kaedah terbaik yang memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan bagi memulihkan kembali sungai yang berada di tahap kritikal.   

3. Dalam aspek pemuliharaan sungai yang dilaksanakan oleh JPS, KATS memberi perhatian secara khusus mengenai isu pembersihan serta mendalamkan parit/sungai untuk mengurangkan risiko banjir sahaja.  

4. Skop kerja yang terlibat di bawah program tersebut adalah kerja pengorekan sungai, muara sungai, pembinaan struktur hakisan tebing sungai, membuang kelodak, sampah, sisa pepejal, pemotongan rumput, menaik taraf dan menyelenggara aset/ struktur kawalan banjir yang bertujuan mengurangkan risiko banjir. Di bawah program ini, KATS membantu Kerajaan Negeri dengan menyalurkan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja untuk mengurangkan risiko banjir di seluruh Negara.  

5. Kawalan pencemaran di punca (control at source) perlu dilaksanakan di mana pelbagai pihak harus terlibat bersama-sama dan memainkan peranan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Penguatkuasaan yang lebih berkesan perlu dilaksanakan ke atas aktiviti-aktiviti punca  
pencemaran seperti kilang, restoran, premis perniagaan, loji kumbahan dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.  

6. Dalam usaha memulihara sungai, perlu untuk kita mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai dan impak yang bakal dihadapi sekiranya pencemaran sungai terus berlaku.  
7. Selain daripada peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, KATS berpandangan pihak-pihak berkepentingan lain juga boleh terlibat dalam usaha memelihara dan memulihara kualiti air sungai. Contohnya adalah dengan memperkenalkan program sukarela river rehabilitation bersama pihak NGO, persatuan masyarakat yang berada di lembangan sungai berkenaan, entiti komersial dan lain-lain supaya dapat mewujudkan sense of belonging terhadap sungai di kawasan mereka.  

Sekian, terima kasih.




Attachments