Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 December 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

1

Soalan

DATO’ MANSOR OTHMAN  [ NIBONG TEBAL ]​  Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah usaha kerajaan bagi menggabungkan bil bekalan air dengan bil pembetungan Indah Water Konsortium (IWK). Apa kesannya kepada Kerajaan dan juga rakyat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pelaksanaan Projek Perintis Bil Bersepadu telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa pada 1 Mac 2016 di mana bil bersepadu pertama telah dikeluarkan pada 1 April 2016. Pelaksanaan projek ini telah menunjukkan kesan yang positif di mana terdapat peningkatan dalam kadar kutipan kumulatif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Labuan iaitu dari 87.0 peratus pada tahun 2016 kepada 90.4 peratus pada tahun 2018. Pelaksanaan bil bersepadu ini juga turut memberi kesan positif terhadap hasil kutipan bil Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) iaitu peningkatan sebanyak 2% dari RM33.11 juta pada tahun 2016 kepada RM33.82 juta pada tahun 2018.

2. Selepas pelaksanaan pengebilan bersepadu di Labuan, IWK berusaha, bersama dengan sokongan dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), memperluaskan lagi pelaksanaan pengebilan bersepadu kepada negeri-negeri lain dengan mengadakan perbincangan bersama operator-operator bekalan air negeri. Beberapa operator bekalan air negeri telah memberi maklum balas positif berkenaan pelaksanaan pengebilan bersepadu dengan IWK. Walau bagaimanapun, pelaksanaan ini adalah tertakluk kepada kelulusan dan persetujuan Kerajaan Negeri.

3. Untuk makluman, pelaksanaan pengebilan bersepadu tidak melibatkan kenaikan tarif perkhidmatan pembetungan sedia ada. Pelaksanaan pengebilan bersepadu dapat memudahkan proses pembayaran di mana pelanggan menerima dan membayar satu bil untuk kedua-dua perkhidmatan bekalan air dan pembetungan sekaligus. Selain itu, pelanggan hanya perlu menghubungi satu pusat hubungan sekiranya pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berkenaan bil kerana terdapat kakitangan pihak IWK yang akan berada di Pejabat Pembekal Air. Pelanggan tidak perlu lagi menghubungi talian yang berlainan untuk isu perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.
4. Selain itu, pelaksanaan pengebilan bersepadu juga boleh membantu rakyat untuk bersiap sedia menghadapi perubahan yang melibatkan integrasi antara perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan yang merupakan hala tuju industri perkhidmatan air negara.

Sekian, terima kasih.


Attachments