Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

04 December 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

26

Soalan

TUAN MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH [PAYA BESAR]​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan :-

(a) usaha Jabatan Perhutanan dalam mengenal pasti lokasi berisiko tinggi berlakunya kemalangan terhadap pengunjung di Taman Eko Rimba; dan

(b) pindaan Akta Perhutanan dan Rang Undang-Undang Profesion Rimbawan dapat mengembalikan keyakinan bahawa pengurusan hutan di Malaysia diuruskan dengan berintegriti.


Jawapan

(a)

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui Jabatan Perhutanan Negeri sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala di kawasan Taman Eko-Rimba bagi mengenalpasti lokasi berisiko tinggi berlakunya kemalangan terhadap pengunjung dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengatasi atau mengurangkan risiko tersebut. Pemeriksaan dan pemantauan dibuat berdasarkan Panduan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko di Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri yang dikeluarkan oleh JPSM.

Penyelenggaraan yang dijalankan di Taman Eko-Rimba adalah secara penyelenggaraan harian iaitu pungutan sampah, pembersihan tandas dan penjagaan kebersihan am, manakala penyelenggaraan landskap, pelupusan sampah sarap serta pemeriksaan bagi mengesan pokok-pokok dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang boleh membahayakan pengguna di Taman Eko-Rimba dijalankan secara mingguan. Jabatan Perhutanan Negeri juga mengadakan pemantauan dan pembaikan ke atas infrastruktur di Taman Eko-Rimba yang melibatkan kerosakan wear and tear secara suku tahun. Selain daripada itu, pihak Jabatan Perhutanan Negeri juga membuat papan tanda amaran seperti di kawasan yang mempunyai risiko berlakunya kepala air dan sebagainya.

​Rekod terkini kemalangan di Taman Eko-Rimba sehingga September 2019 adalah tujuh (7) kes lemas (Pahang=6, Terengganu=1), satu (1) kes sesat (Selangor) dan satu (1) kes tergelincir (Selangor).

(b)

Tuan Yang Dipertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sedang melaksanakan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) [Akta 313] sedia ada, yang meliputi keperluan untuk menambahbaik pentadbiran, pengurusan, pemeliharaan dan penguatkuasaan hutan di Semenanjung Malaysia.
Skop utama pindaan Akta 313 adalah :-

(i) untuk memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK);

(ii) untuk memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan secara haram;

(iii) untuk meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar; dan

(iv) untuk mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta 313.

Pada masa ini, profesion Rimbawan dikenali sebagai Pemelihara Hutan atau Conservator of Forest yang bertanggungjawab mengurus khazanah hutan negara. Objektif utama penggubalan RUU Rimbawan Malaysia adalah bagi mengiktiraf profesion Rimbawan melalui pendaftaran ahli-ahli
Rimbawan serta mewujudkan kerangka perundangan yang bertujuan untuk mengawalselia etika dan amalan perhutanan profesion Rimbawan dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Di bawah Akta ini sebuah Lembaga iaitu Lembaga Rimbawan akan ditubuhkan bagi memberikan khidmat nasihat dan perkhidmatan teknikal professional berkaitan dengan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Salah satu peranan Lembaga Rimbawan adalah sebagai badan penilaian bebas yang akan menentusahkan Rancangan Pengurusan Hutan yang dihasilkan berdasarkan kepada piawaian yang digariskan di dalam dokumen Panduan Penyediaan Rancangan Pengurusan Hutan Bagi Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Ia adalah selaras dengan keperluan untuk memelihara, memulihara dan mengurus sumber hutan secara berkekalan seperti dinyatakan di dalam Akta 313.
Selain itu, Lembaga Rimbawan juga akan berperanan untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai tindakan-tindakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Jabatan Perhutanan bagi mencapai matlamat Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) dalam konteks transparency dan akauntabiliti.

Sekian, terima kasih.

Attachments