Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

09 December 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

85

Soalan

​​YB DATO' KESAVADAS A/L A.ACHYUTHAN NAIR​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejak kebelakangan ini, negara kita sering mengalami masalah gangguan bekalan air sama ada akibat pencemaran, kemarau atau kerja-kerja penyelenggaraan. Di sesetengah negara, penuaian air (water harvesting) secara tadahan hujan menerusi takungan air dari sumber bawah tanah atau permukaan tanah telah diperkenalkan. Adakah Kerajaan sedia memperkenalkan langkah penuaian air ini di bandar dan luar bandar.

Jawapan


Tuan Yang di-Pertua,

1. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, sumber air diletakkan di bawah senarai kuasa Kerajaan Negeri masing-masing. Pada masa ini sumber air dikawal selia oleh Kerajaan Negeri melalui Badan Kawal Selia Sumber Air atau Unit Perancang Negeri masing-masing.

2. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam usaha dalam merancang, membangunkan dan mengurus sumber air bagi memastikan kuantiti dan kualiti air bagi semua sektor pengguna dan alam sekitar.

3. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Kajian Sumber Air Negara dijalankan pada tahun 2000 dan kajian semula pada tahun 2011. Kajian tersebut telah mengenal pasti cadangan pembangunan sumber air dan infrastruktur bekalan air bagi memenuhi permintaan air pelbagai sektor seperti domestik, industri, pertanian, ternakan dan lain-lain kegunaan sehingga tahun 2050.

4. Sehubungan itu, keperluan sumber dan pembangunan loji baru perlulah dipantau, dilaksanakan dan disemak semula mengikut jadual perancangan kajian tersebut selaras dengan pertumbuhan permintaan dari semasa ke semasa.


5. Dalam usaha untuk meningkatkan sumber air alternatif dan menghadapi ancaman pencemaran sumber air mentah yang semakin berleluasa, Kementerian ini melalui Bahagian Bekalan Air telah melaksanakan projek-projek penuaian larian hujan melalui pembinaan kolam takungan air mentah seperti Off-river Storage atau dikenali sebagai ORS di beberapa negeri.

6. Kolam-kolam takungan ORS tersebut berkonsep menakung atau menyimpan air hujan semasa aliran sungai menjadi tinggi semasa hujan. Sumber air mentah ini akan disimpan untuk digunakan semasa kemarau atau aliran sungai adalah rendah untuk diambil oleh loji rawatan air yang berdekatan.

7. Kolam seumpama ini biasanya dibina di kawasan yang berisiko rendah daripada pencemaran sungai akibat penggunaan tanah dan pembangunan bandar yang pesat. Pembinaan kolam simpanan bawah tanah akan dipertimbangkan sekiranya sesuai tanpa menyebabkan risiko keselamatan dan kesihatan orang awam.

8. Projek yang sedang dilaksanakan adalah seperti ORS Sg Johor, ORS Sg Linggi (Negeri Sembilan), ORS Gadek dan ORS Tasik Biru di daerah Jasin, Melaka, kajian kemungkinan pembinaan sistem ORS di kawasan Wilayah Tengah Lembaga Air Perak dan ORS Langkawi.

9. Selain itu, Kementerian ini juga melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa menggalakkan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dalam pembangunan baharu dan sedia ada.

10. Walau bagaimanapun, pemakaian dan penggunaan SPAH ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) untuk dilaksanakan di setiap pembangunan.

Sekian, terima kasih.​

Attachments