Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bertanggungjawab mengeluarkan permit serta memantau zoo di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Walau bagaimanapun zoo yang diberi permit dan dipantau hanyalah zoo yang menyimpan spesies hidupan liar yang disenaraikan di bawah Akta 716.
2. Sehingga kini, Jabatan PERHILITAN telah mengeluarkan 14 Permit Mengendali Zoo kepada 14 premis Zoo dan 18 Permit Pameran Tetap kepada 18 premis pameran hidupan liar di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pameran tetap bermaksud aktiviti mempamerkan secara tetap hidupan liar di mana-mana premis dan dibuka kepada umum. Sehubungan itu, dalam mempertingkatkan daya tarikan setiap Zoo dan Pameran Tetap di Malaysia, beberapa langkah telah diambil oleh Jabatan PERHILITAN iaitu:
(i) Program Pinjaman
Hidupan Liar iaitu Jabatan PERHILITAN memberikan pinjaman stok hidupan liar kepada zoo-zoo dan pameran tetap. Ini menjadi pemangkin aktiviti konservasi dan pendidikan dan kesedaran awam;
(ii) Pasukan Pengauditan dari Jabatan PERHILITAN dan pihak Persatuan Zoo dan Akuarium Malaysia (Malaysian Association of Zoological Parks and Aquaria - MAZPA) sentiasa menjalankan pengauditan terhadap tahap kebajikan hidupan liar yang dipamer di setiap zoo dan premis pameran tetap selaras dengan Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) 2012, Peraturan-Peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pengendalian Zoo) (Pindaan) 2013 dan Peraturan-peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pameran) 2013. Dalam proses pengauditan, Jabatan PERHILITAN dan MAZPA akan memberikan khidmat nasihat teknikal berkaitan kesesuaian saiz dan rekabentuk sangkar, pameran, penjagaan hidupan liar termasuklah kepentingan landskap dan enrichment dalam sangkar; dan
(iii) Jabatan PERHILITAN dan MAZPA menyediakan latihan kepada operator-operator Zoo dan Pameran Tetap dalam bidang pengurusan hidupan liar dalam kurungan. Melalui platform ini, isu-isu semasa berkaitan perundangan, pengurusan hidupan liar dalam kurungan dan pembangunan konsep Zoo Moden turut dibincangkan.
3. Kebanyakan Zoo dan premis Pameran Tetap di Malaysia diuruskan oleh syarikat persendirian dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Justeru, Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama MAZPA bertanggungjawab memastikan setiap zoo dan premis pameran hidupan liar di Malaysia mematuhi sistem perundangan semasa dan memastikan tahap kebajikan hidupan liar yang dipamerkan kepada orang awam sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih.