Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

18 December 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Air

Nombor Soalan

54

Soalan

YB TUAN ADRIAN BANIE LASIMBANG​ Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah sebarang tindakan yang boleh diambil terhadap projek pembangunan mega seperti empangan yang dimulakan tanpa menjalankan kajian Dampak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Dampak Sosial (SIA).

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan sememangnya memberi perhatian yang serius terhadap projek pembangunan mega seperti empangan. Pembinaan empangan tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Warta Kerajaan Persekutuan berkaitan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, P.U (A) 195, Jadual Kedua di perenggan 15 bertajuk ‘Pembinaan Empangan’ yang mana Laporan EIA perlu disediakan.

2. Walau bagaimanapun, perenggan 15 dalam perintah ini tidak terpakai untuk Negeri Sabah dan Negeri Sarawak. Negeri Sabah menggunapakai Enakmen Perlindungan Alam Sekitar Tahun 2002 sementara Negeri Sarawak menggunapakai The Natural Resources And Environment (Prescribed Activities) Order, 1994 untuk pelaksanaan kawalan alam sekitar ke atas pembinaan empangan di negeri-negeri tersebut.

3. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, Seksyen 34A dan 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan bahawa seseorang boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

 4. Manakala, Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment, SIA) dalam perancangan projek pula tertakluk di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2017 [Akta A1522] di bawah bidang kuasa PLANMalaysia.
5. Walau bagaimanapun, akta ini tidak memperuntukkan secara khusus aspek berkaitan dengan tindakan yang boleh diambil terhadap projek pembangunan mega yang dimulakan tanpa menjalankan kajian SIA.

Sekian, terima kasih.

Attachments