Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) amat serius dalam usaha memelihara dan memulihara gajah-gajah Malaysia termasuk membanteras kegiatan pemburuan haram gajah-gajah liar termasuk Gajah Pygmy Borneo. Namun begitu, bidang kuasa KATS dan Jabatan PERHILITAN tidak tertakluk di Negeri Sabah dan Sarawak yang mana Negeri-Negeri tersebut mempunyai perundangan pengurusan hidupan liar masing-masing.
2. Perundangan hidupan liar yang berkuatkuasa di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 761]. Perundangan yang berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak pula adalah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (Pindaan 2016) dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998. Jabatan yang melaksanakan penguatkuasaan perundangan di Sabah adalah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS). Jabatan dan agensi yang melaksanakan perundangan di Sarawak adalah Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) di bawah Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak.
3. Walau bagaimanapun, KATS dan Jabatan PERHILITAN sentiasa menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk melindungi hidupan liar termasuklah usaha-usaha untuk melindungi Gajah Pygmy Borneo yang semakin terancam. Dalam hal ini, antara usaha yang telah dijalankan oleh Jabatan PERHILITAN untuk membantu pihak JHLS adalah dalam melaksanakan analisa forensik Deoxyribonucleic Acid (DNA) bagi pengecaman spesies dan pengecaman secara morfologi ke atas barang kes bagi dua (2) kes pada tahun 2019 yang melibatkan Gajah Pygmy Borneo.
4. Selain itu, Gajah Pygmy Borneo adalah spesies yang dilindungi dan disenaraikan di bawah Apendiks I Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686] di bawah KATS serta Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES). KATS selaku Pihak Berkuasa Pengurusan Utama CITES di Malaysia sentiasa prihatin dan bekerjasama dengan JHLS dalam apa isu-isu berkaitan perdagangan haram antarabangsa gajah.
5. Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan sebanyak RM 48.97 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 2008 hingga 2019 bagi pelaksanaan Inisiatif Heart of Borneo (HoB). Inisiatif HoB melibatkan kawasan hutan yang meliputi kawasan sempadan Brunei Darussalam, Indonesia (Kalimantan) dan Malaysia (Sabah dan Sarawak) yang dianggarkan seluas 206,000 kilometer persegi. Inisiatif HoB membantu dalam memelihara habitat Gajah Pygmy Borneo melalui pengekalan forest connectivity di kawasan tersebut.
Sekian, terima kasih.