Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

115

Soalan

YB TUAN ADRIAN BANIE LASIMBANG Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah pelan jangka panjang untuk mengekalkan status Sabah sebagai pusat pemuliharaan kepelbagaian biologi di dunia seperti yang diiktiraf oleh Man & The Biosphere Programme.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Program Manusia dan Biosfera (Man and The Biosphere Programme - MAB) yang dilancarkan pada 1971 merupakan satu program saintifik antara kerajaan (inter-governmental) di bawah The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang menyediakan asas saintifik untuk pengurusan, pendidikan dan penyelidikan bagi memulihara dan mengguna sumber asli secara mampan. Penyertaan Malaysia dalam Program MAB bermula pada tahun 2009 dengan penyenaraian Tasik Chini, Pahang sebagai Tapak Rizab Biosfera yang pertama. Selain Tasik Chini, Banjaran Crocker di Sabah turut tersenarai sebagai tapak Rizab Biosfera pada tahun 2014.

2. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian ini akan sentiasa menyokong segala inisiatif dari Kerajaan Negeri Sabah untuk mengekalkan status Sabah sebagai pusat pemuliharaan kepelbagaian biologi di dunia. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM 48.97 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 2008 hingga 2019 bagi pelaksanaan Inisiatif Heart of Borneo (HoB).

3. Inisiatif HoB yang dilaksanakan di Sabah meliputi aktiviti pengukuhan pengurusan di Kawasan Terlindung Sepenuhnya (totally protected area) dan kawasan tadahan air, penubuhan kawasan-kawasan koridor bagi hidupan liar melalui aktiviti restorasi dan pemuliharaan hutan (rehabilitation) serta pengumpulan data biodiversiti dalam kawasan HoB melalui ekpedisi saintifik.

4. Sejak dari tahun 2007, Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas-TPA) di Sabah telah meningkat dari 17% (843,295 hektar) kepada 26% (1,906,896 hektar) daripada keseluruhan kawasan tanah. Kerajaan Negeri Sabah juga menyasarkan untuk meningkatkan TPA sebanyak 30% menjelang tahun 2025. Kementerian ini yakin dengan sasaran tersebut serta pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah, status Sabah sebagai pusat pemuliharaan kepelbagaian biologi di dunia akan terus berkekalan.

Sekian, terima kasih.​


Attachments