Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

18

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [ KUALA LANGAT ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan kesan daripada operasi pengeluaran pasir dasar laut di kawasan Pelantar Benua Malaysia susulan kelulusan lesen pasir dasar laut terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian. Apakah terdapat aktiviti mengorek pasir secara haram.​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

i) Dimaklumkan, bagi aktiviti pengorekan pasir di Pelantar Benua iaitu kawasan lautan selepas tiga (3) batu nautika daripada tikas air surut adalah tertakluk kepada kelulusan lesen yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli selaras dengan Seksyen 4, Akta Pelantar Benua 1966. Pada masa ini, hanya terdapat satu syarikat berlesen yang beroperasi bagi aktiviti pengorekan pasir di Pelantar Benua.

ii) Bagi sebarang permohonan lesen pengorekan pasir dasar laut di kawasan Pelantar Benua, sebelum sesuatu lesen dikeluarkan, permohon perlu mendapat kelulusan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) selaras dengan Perkara 8(c) dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling 1974).

iii) Kawalan terhadap pengeluaran lesen melalui kelulusan EIA ini adalah bagi memastikan impak kepada alam sekitar dapat ditangani dengan lebih berkesan memandangkan langkah-langkah mitigasi untuk melindungi ekologi hidupan laut, memastikan keselamatan pelayaran dan lain-lain telah diambil kira dalam Laporan Kajian EIA tersebut.

iv) Pada masa yang sama, Kerajaan melaksanakan pemantauan ke atas aktiviti perlombongan pasir dasar laut melalui jawatankuasa yang diurus setiakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG). Jawatankuasa ini turut memastikan pematuhan terhadap mekanisma permohonan pasir bagi mengelakkan kesan negatif ke atas ekosistem hidupan laut dan alam sekitar.

v) Bagi menangani aktiviti pengorekan pasir secara haram, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berkala turut dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) di mana sepanjang tahun 2019, terdapat 36 operasi pemeriksaan ke atas kapal-kapal pasir yang dilaksanakan dengan 13 tangkapan telah dibuat.

Sekian, terima kasih.
Attachments