Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

PERHILITAN

Nombor Soalan

42

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [ KUALA LANGAT ] Minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan kesan-kesan virus COVID-19 dari hidupan liar seperti spesies kelawar dan tenggiling di mana spesies-spesies ini juga terdapat di Malaysia. Mengikut maklumat dari Negara China, punca awal wabak ini adalah berasal daripada hidupan liar seperti spesies kelawar dan tenggiling. Adakah virus ini boleh didapati pada hidupan liar di negara kita dan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian dalam memantau virus dalam populasi hidupan liar di negara kita.​


Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

1. Hasil kajian melalui aktiviti-aktiviti pemantauan dan survelan penyakit zoonotik oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mendapati virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit Covid-19 tidak ditemui pada hidupan liar di negara ini.

2. KeTSA sentiasa proaktif dalam memantau penyakit zoonotik bawaan hidupan liar kepada manusia melalui Wildlife Disease Surveillance Programme yang telah dilaksanakan sejak tahun 2011. Melalui program ini, satu kumpulan dedikasi yang dikenali sebagai Outbreak Response Team yang terdiri daripada Pegawai Penyelidik, Pegawai Hidupan Liar dan Pegawai Veterinar telah diwujudkan.

3. Jabatan PERHILITAN turut terlibat dalam projek kerjasama antarabangsa yang dikenali sebagai Projek PREDICT bermula dari tahun 2010 hingga 2019 bagi mengkaji kesan penyakit zoonotik. Projek ini melibatkan perjanjian kerjasama di antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan EcoHealth Alliance.

4. Selain itu, Jabatan PERHILITAN terlibat sebagai ahli ‘Jawatankuasa antara Kementerian bagi Kawalan Penyakit Zoonotik’ yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Sebarang penemuan virus baru yang mempunyai potensi untuk menyebabkan pandemik akan dibincangkan dalam Jawatankuasa ini.

5. Di bawah Projek PREDICT, pelbagai sampel dikumpulkan dan disaring penyakit menggunakan 5 panel famili virus/genera termasuklah famili Corona, Filo, Flavi Influenzas dan Paramyxo virus. Hasil analisis saringan penyakit ke atas sejumlah 2,463 sampel daripada 1,195 individu (740 kelawar, 286 tenggiling, 125 rodent dan shrew, 42 non-human primates dan 2 mamalia kecil lain) pada tahun 2014 hingga 2019, mendapati enam (6) sampel yang positif kepada virus Corona di mana dua (2) daripadanya adalah baharu (novel) dan diberi nama PREDICT_CoV-87 dan PREDICT_CoV-104. Kedua-dua virus baharu ini ditemui pada kelawar. Manakala sebanyak 286 individu tenggiling yang melibatkan sejumlah 572 sampel telah dianalisa dan kesemuanya adalah negatif kepada virus Corona.

6. Virus Corona baharu PREDICT_CoV-87 dan PREDICT_CoV-104 termasuk dalam genus Alpha-coronavirus dan tidak sama dengan COVID-19. Setakat ini, virus Corona baharu ini tidak membawa ancaman kepada kesihatan awam. Jabatan PERHILITAN akan meneruskan aktiviti pemantauan dan survelan penyakit zoonotik sebagai sistem amaran awal (early warning system) untuk mengelak berlakunya penularan penyakit zoonotik.

Sekian, terima kasih.
Attachments