Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

52

Soalan

TUAN NIK NAZMI BIN NIK AHMAD [SETIAWANGSA] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah rancangan Kementerian untuk memelihara khazanah hutan negara.​​​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

KeTSA sentiasa komited dalam usaha memelihara khazanah hutan negara dan memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan dicapai. Dalam hubungan ini, antara rancangan yang sedang dan akan diambil oleh KeTSA adalah seperti berikut:

i) mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan sebagai Hutan Simpanan Kekal;

ii) meneruskan aktiviti rawatan hutan dan silvikultur dalam Hutan Simpanan Kekal;

iii) mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemulihan kawasan hutan melalui Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Terosot Di Semenanjung Malaysia;

iv) menyediakan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri setiap 10 tahun bagi tujuan pentadbiran, pengurusan dan pembangunan Hutan Simpanan Kekal secara berkekalan;

v) melaksanakan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan;

vi) menyedia, melaksana dan memantau Catuan Tebangan Tahunan (CTT) setiap tempoh Rancangan Malaysia bagi kawasan hutan pengeluaran dalam Hutan Simpanan Kekal;

vii) mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan termasuk kaedah pengusahasilan yang berimpak rendah;

viii) menjana pendapatan melalui potensi baharu selain daripada kayu balak termasuk inisiatif REDD Plus dan bayaran bagi perkhidmatan ekosistem (Payment for Ecosystem Services – PES) untuk mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pembalakan; dan

ix) memperkasakan amalan pengurusan hutan berkekalan dengan membangun dan mengaplikasikan teknologi terkini yang bersesuaian dengan perhutanan.

Sekian, terima kasih.
Attachments