Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

54

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [ KUALA LANGAT ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan situasi program Selamatkan Harimau Malaya di mana Harimau merupakan simbol kegagahan serta kebanggaan negara kita. Hidupan liar negara kita, terutamanya Harimau Malaya dan tenggiling diancam kepupusan. Apakah langkah-langkah Kerajaan dalam menangani gejala perdagangan haram hidupan liar di Malaysia, terutamanya perdagangan atas talian. Bilakah undang-undang yang sedia-ada akan diperkukuhkan.​​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

‘Kempen Selamatkan Harimau Malaya’ yang dilancarkan pada 17 Mac 2019 akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan sehingga penghujung tahun 2020. Antara program yang dilaksanakan ialah survei Harimau Malaya Kebangsaan (National Tiger Survey - NTS); program penguatkuasaan bersepadu seperti Ops Bersepadu Khazanah (OBK), ‘Ops Jerat’ dan Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) yang melibatkan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan Orang Asli; program Corporate Social Responsibility (CSR) bersama badan korporat seperti AirAsia dan AEON; serta pelbagai program kesedaran awam.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sangat komited dalam memastikan hidupan liar tidak diperdagangkan secara haram kerana ia menjejaskan populasi hidupan liar. Antara langkah-langkah yang telah diambil dalam menangani perdagangan haram hidupan liar di Malaysia adalah:

(i) meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] bagi mengenakan hukuman denda yang lebih berat sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi 15 tahun bagi kesalahan import-eksport hidupan liar terancam termasuk Harimau Malaya tanpa dokumen yang sah. Pindaan juga melibatkan kawalan terhadap aktiviti perdagangan hidupan liar atas talian (online);

(ii) memperkukuhkan Unit Cybercrime di Jabatan PERHILITAN bagi menjalankan pemantauan dan siasatan terhadap aktiviti-aktiviti perdagangan hidupan liar atas talian;

(iii) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Celcom, Maxis, Digi serta syarikat-syarikat penyedia jualan atas talian seperti e-Bay, Amazon, Shopee, Facebook, Mudah, Carousell dan AliBaba untuk mendapatkan maklumat penjenayah atas talian;

(iv) memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); dan

(v) bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menjalankan siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613].

Sekian, terima kasih.
Attachments