Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

21

Soalan

TUAN CHA KEE CHIN [RASAH] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan secara terperinci Skim Diskaun Prihatin dan Skim Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang dilaksanakan baru-baru ini dan kenapakah terdapat rungutan daripada ramai pengguna bahawa berlaku kenaikan bil elektrik sepanjang tempoh tersebut. ​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan telah mengumumkan diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020 sebagai penambahbaikan kepada diskaun elektrik yang diumumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) pada 27 Februari 2020 dan pengumuman penambahbaikan seterusnya pada 16 Mac 2020 bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

2. Pemberian diskaun bil elektrik kepada pengguna domestik di bawah PRIHATIN dilaksanakan bagi penggunaan elektrik bermula 1 April sehingga 30 September 2020 seperti berikut:

(i) diskaun sebanyak 50% diberikan kepada pengguna yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah atau dengan bil elektrik RM43.60 ke bawah;

(ii) diskaun sebanyak 25% kepada pengguna yang menggunakan elektrik di antara 201-300kWj sebulan atau dengan bil elektrik di antara RM43.93 hingga RM77.00;

(iii) diskaun bil elektrik sebanyak 15% bagi pengguna yang menggunakan elektrik di antara 301-600kWj sebulan atau dengan bil elektrik di antara RM77.52 hingga RM231.80; dan

(iv) diskaun sebanyak 2% bagi pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 600kWj sebulan atau dengan bil elektrik melebihi RM231.80.

3. Bagi mengurangkan beban rakyat yang mengalami kenaikan bil elektrik kerana terpaksa duduk di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan telah meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) pada 20 Jun 2020 kepada semua pengguna domestik bagi penggunaan elektrik sepanjang tempoh PKP iaitu bagi bulan April, Mei dan Jun 2020. Perincian pelaksanaan BPE adalah seperti berikut:

(i) pengguna dengan penggunaan elektrik 300 kiloWatt jam (kWj) ke bawah sebulan atau jumlah bil elektrik RM77 ke bawah akan menikmati bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun 2020;

(ii) pengguna dengan penggunaan elektrik melebihi 300 kWj sebulan pula akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 atau RM77 sebulan bagi bulan April, Mei dan Jun 2020;

(iii) diskaun tambahan sebanyak 8% diberikan kepada pengguna dengan penggunaan di antara 601 hingga 900 kWj menjadikan diskaun keseluruhan sebanyak 10% sebulan bagi tempoh April sehingga September 2020; dan

(iv) pengguna dengan penggunaan elektrik melebihi 900 kWj sebulan akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 atau RM77 sebulan bagi bulan April, Mei dan Jun 2020.

4. Rungutan daripada ramai pengguna bahawa berlaku kenaikan bil elektrik semasa tempoh PKP adalah berpunca antaranya daripada faktor-faktor berikut:

i) Penggunaan elektrik di kalangan pengguna domestik sepanjang tempoh PKP telah meningkat di antara 20 hingga 50%. Keadaan ini berlaku kerana rakyat telah mematuhi perintah Kerajaan untuk berada di rumah masing-masing dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh PKP kecuali pekerja-pekerja dalam sektor-sektor yang menyediakan perkhidmatan penting kepada rakyat sepertimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN); dan

i) Operasi bacaan meter elektrik secara fizikal telah dihentikan sepanjang tempoh PKP iaitu bagi tempoh 20 Mac 2020 sehingga 18 Mei 2020. Bacaan bil dibuat secara anggaran bagi tempoh Mac, April dan Mei 2020 yang menyebabkan bil elektrik bulan Jun kelihatan tinggi kerana penyelarasan dibuat bagi bil anggaran bulan Mac, April dan Mei di dalam bil bulan Jun. Aktiviti bacaan meter elektrik oleh semua utiliti elektrik di Malaysia telah dihentikan secara sementara bermula 18 Mac 2020 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP yang ditetapkan oleh MKN demi menjaga kebajikan pembaca meter dan memutuskan rantaian serta membendung penularan wabak Covid-19. Langkah yang sama juga telah diambil oleh pihak utiliti lain di rantau ini seperti Singapura, Filipina, Thailand dan Indonesia.

Sekian, terima kasih.
Attachments