Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

27

Soalan

PUAN YEO BEE YIN [ BAKRI ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan sama ada Kementerian akan meneruskan inisiatif Malaysia Electricity Supply Industry 2.0 (MESI 2.0) yang merangkumi langkah-langkah untuk meningkatkan persaingan dalam rangkaian pembekalan elektrik dari pembelian bahan api ke penjualan runcit supaya industri ini tidak terus dimonopoli.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian telah meneliti inisiatif-inisiatif yang telah dirancang di bawah MESI 2.0 dan sedang mengambil langkah untuk mengkaji semula inisiatif-inisiatif tersebut selaras dengan fokus Kerajaan sekarang yang meletakkan kepentingan rakyat dan kesediaan industri bekalan elektrik negara dalam mendepani cabaran pada masa akan datang berikutan penularan wabak Covid-19, sebagai keutamaan dalam melaksanakan MESI 2.0.

2. Dalam hubungan ini, Kementerian berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk melaksanakan satu kajian menyeluruh berkaitan pelaksanaan MESI 2.0. Selain itu, kajian ini juga penting bagi memastikan pelaksanaannya kelak tidak akan membebankan pengguna, tidak memberikan implikasi kewangan kepada Kerajaan di samping memastikan Kerajaan masih mempunyai kawalan ke atas industri bekalan elektrik negara khususnya bagi perkara-perkara yang melibatkan tarif elektrik.

3. Berdasarkan kajian awal yang dilaksanakan, sekiranya pelaksanaan inisiatif MESI 2.0 diteruskan, ia akan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan sekitar RM 5 bilion dan Kerajaan melalui Kementerian Kewangan juga perlu mengambil alih obligasi Power Purchase Agreement yang berjumlah RM 60 bilion ke RM 80 bilion daripada Tenaga Nasional Berhad.

4. Oleh itu, berpandangan bahawa inisiatif MESI 2.0 ini wajar dikaji semula dengan mengambil kira impaknya yang besar bukan sahaja kepada industri bekalan elektrik negara malah kepada negara secara keseluruhannya.

Sekian, terima kasih.
Attachments