Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

37

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDRAM [ KUALA LANGAT ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan Status Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 dan rancangan-rancangan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian pada masa yang akan datang.​


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 digubal untuk memastikan pemuliharaan biodiversiti, penggunaannya secara mampan dan faedah yang terhasil daripadanya dikongsi secara adil dan saksama oleh setiap lapisan masyarakat. Dasar ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap ketetapan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity - CBD) dan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

2. Pencapaian Dasar ini bagi tempoh 2016 hingga 2019 telah dilaporkan dalam Laporan Kebangsaan yang ke-6 kepada CBD. Laporan ini menunjukkan bahawa Malaysia telah mencapai sebahagian besar sasaran yang telah ditetapkan. Antara pencapaian yang dicatatkan adalah pengurusan kawasan perlindungan, penguatkuasaan dan pengawalan jenayah hidupan liar, akses kepada sumber biologi dan perkongsian faedah dan mobilisasi sumber. Laporan Kebangsaan juga menunjukkan bahawa faktor kewangan, sumber manusia dan pengarusperdanaan (mainstreaming) biodiversiti dalam sektor-sektor utama masih menjadi kekangan untuk memenuhi sasaran Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan.

3. Mulai tahun ini, Kementerian akan melaksanakan beberapa aktiviti berkaitan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan antaranya:

(i) menyemak semula Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan dengan mengambil kira keperluan semasa dan obligasi antarabangsa seperti Post-2020 Global Biodiversity Framework;

(ii) mengarusperdanakan biodiversiti dalam sektor-sektor utama antara lainnya melalui projek Mainstreaming Biodiversity Conservation into River Management dan Biodiversity Conservation and Management or Protected Areas in ASEAN (BCAMP); dan

(iii) mengukuhkan pangkalan data biodiversiti kebangsaan iaitu Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS).

Sekian, terima kasih.
Attachments