Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

49

Soalan

DATUK DR. HASAN BIN BAHROM [ TAMPIN ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah Kementerian mempunyai kajian menyeluruh tentang pembalakan haram di negara ini dan apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak Kementerian bagi mereka yang melakukan pembalakan haram tersebut. ​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Pada masa ini, tiada kajian menyeluruh yang dijalankan berkaitan pembalakan haram di negara ini. Walau bagaimanapun, kes-kes pembalakan haram sentiasa dipantau oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri. Penjenayah yang ditangkap melakukan kegiatan pembalakan haram atau kesalahan hutan akan didakwa di mahkamah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah.

2. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah melaksanakan usaha-usaha bagi menangani isu pembalakan haram antara lainnya seperti berikut:

i) melaksanakan pindaan ke atas Akta 313 bagi memantapkan penguatkuasaan hutan serta meningkatkan kadar denda dan hukuman bagi membendung kesalahan hutan. Peningkatan kadar denda ini adalah sebagai satu usaha pencegahan (deterrence) kepada masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah kesalahan hutan;

ii) menubuhkan War Room@JPSM sebagai sebuah bilik gerakan yang menjadi hub-berpusat (one stop centre) di ibu pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang bertujuan memperkasakan aktiviti pemantauan sumber hutan negara. Ianya berupaya untuk mengesan sebarang perubahan yang berlaku di dalam Hutan Simpanan Kekal termasuk yang berpunca daripada kegiatan pencerobohan dan penerokaan hutan, pembalakan haram, perubahan litupan hutan dan insiden kebakaran hutan di Semenanjung Malaysia;

iii) menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam menjalankan operasi bersepadu. Sebanyak 41 operasi penguatkuasaan bersepadu telah dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2019 yang melibatkan Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia; dan

iv) mengadakan aktiviti penguatkuasaan seperti risikan, rondaan kawasan hotspot dan pemantauan udara kawasan berhutan dengan menggunakan helikopter dan dron dalam memantau kawasan pembalakan haram.

3. Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak turut memandang serius kepada kegiatan pembalakan haram. Dalam hal ini, tindakan-tindakan berikut telah diambil bagi menangani dan membanteras pembalakan haram iaitu:

Bagi negeri Sabah, beberapa tindakan telah diambil seperti berikut:

i) meminda Enakmen Hutan Negeri Sabah 1968 untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan pembalakan haram iaitu mandatori penjara satu (1) tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak lebih daripada RM500,000 jika sabit kesalahan;

ii) mewujudkan Unit Monitoring, Control, Enforcement and Evaluation (MCEE) dan Protect Team di Sabah yang memantau dan membanteras kegiatan pembalakan haram yang turut dibekalkan dengan senjata api;

iii) bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera, Unit Pencegahan Pembalakan Haram, Jabatan Ketua Menteri dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bagi membanteras pembalakan haram di Sabah;

iv) melibatkan dan melatih orang awam untuk berkhidmat sebagai Renjer Hutan Kehormat bagi mengesan pembalakan haram di Sabah; dan

v) menguruskan Hutan Simpan Kelas II (Komersial) berdasarkan kepada Sistem Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management) melalui lesen jangka panjang Sustainable Forest Management Licence Agreement. Ia bagi memudahkan pemantauan terhadap Pelan Pengurusan Hutan, Plan Kerja Tahunan, Penetapan Tebangan Tahunan, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, Pembalakan Kurang Kerosakan dan sebagainya untuk memudahkan pengawalan sumber-sumber berharga supaya tidak disalahgunakan.

Manakala, Negeri Sarawak telah mengambil tindakan-tindakan seperti berikut:

i) membentuk pelbagai jawatankuasa bagi membanteras pembalakan haram di Sarawak seperti State Task Force on Illegal Logging Committee, Illegal Logging Action Committee, Forestry Prevention and Enforcement Working Committee dan Pasukan Gerak Khas Pembanterasan Pembalakan Haram;

ii) mengadakan Operasi Bersepadu (Ops Rengas) bersama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan bagi membanteras pembalakan haram di Sarawak; dan

iii) melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak untuk membekalkan maklumat risikan yang lebih cepat dan tepat mengenai kemungkinan berlaku pembalakan haram di sesuatu kawasan.

Sekian, terima kasih.
Attachments