Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengambil perhatian serius dan masih mengekalkan pendirian untuk tidak menyokong cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara berkeluasan 930.93 hektar bagi tujuan pembangunan bercampur oleh Kerajaan Negeri Selangor.
2. Pewartaan keluar kawasan Hutan Simpan tersebut akan menyebabkan kehilangan spesies flora berharga seperti spesies Meranti bunga dan Meranti bakau yang masing-masing disenaraikan sebagai Critically Endangered Endangered di bawah “Malaysia Plant Red List – Peninsular Malaysian Dipterocarpaceae".
3. Hutan Simpan tersebut juga mempunyai pelbagai spesies fauna termasuk spesies yang dilindungi sepenuhnya antara lainnya spesies burung liar yang terdapat lebih kurang 68 spesies burung di bawah Kategori Spesies Dilindungi Sepenuhnya seperti spesies Burung Helang dan Burung Tukang. Manakala untuk spesies mamalia, terdapat 9 spesies di bawah Kategori Spesies Dilindungi Sepenuhnya seperti spesies Kubung, Kongkang, Tenggiling, Tupai Kerawak Hitam, Tupai Gading, Kucing Batu, Bambun Ekor Pendek, Memerang Licin dan Tapir.
4. Cadangan pewartaan keluar kawasan Hutan Simpan tersebut juga amat membimbangkan Kementerian ini, memandangkan tindakan ini akan turut menjejaskan komitmen Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok seperti yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992.
5. Oleh yang demikian, Kementerian amat berharap agar Kerajaan Negeri Selangor dapat mempertimbangkan semula cadangan pewartaan keluar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara demi memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi di negara ini dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor khususnya Orang Asli yang mendiami kawasan sekitar hutan tersebut.
Sekian, terima kasih.