Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

27 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

10

Soalan

DATO' DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDAM [KUALA LANGAT] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan langkah-langkah yang dilakukan oleh Kementerian untuk memajukan industri sumber mineral negara dalam kes perlombongan pasir silika, tanah liat dan lain-lain mineral serta tindakan-tindakan yang diambil untuk menubuhkan Lembaga Sumber Asli Negara (Formation of the Mineral Board).​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Pada masa ini, rizab mineral negara yang belum dibangunkan, dianggar bernilai RM 4.11 trillion. Rizab ini merangkumi mineral berlogam, mineral bukan logam (termasuk pasir laut dan sungai) dan mineral tenaga. Bagi memastikan sektor industri mineral dapat dibangunkan secara holistik dan memberi pulangan pada jangka masa yang panjang, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang merangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara.

Pelan transformasi ini merupakan satu inisiatif bagi merancakkan semula industri mineral negara dengan perancangan yang dicadangkan selama 10 tahun iaitu bermula dari tahun 2020-2030. Pelan transformasi ini akan dipacu dengan matlamat dan sasaran yang jelas serta dibangunkan melalui pengukuhan teras-teras utama yang merangkumi aspek tadbir urus berkesan dan holistik, pembangunan industri, pembangunan data maklumat serta kemajuan teknologi dan inovasi.

Kementerian akan memastikan sasaran yang ditetapkan sepanjang 2020 hingga 2030 berjaya dicapai mengikut garis masa yang telah dirancang. Ini merupakan salah satu inisiatif dalam memastikan proses pembangunan industri mineral dapat dilaksanakan secara sistematik agar usaha untuk membangunkan industri mineral boleh diteruskan pada fasa-fasa pelan pembangunan seterusnya.

Kesemua teras ini melambangkan hasrat Kementerian dalam memastikan pembangunan industri mineral menjadi sebagai salah satu penyumbang besar kepada ekonomi negara. Hal ini termasuklah memastikan pembangunan industri mineral tidak lagi tertumpu kepada aktiviti perlombongan di peringkat huluan semata-mata. Malahan ia akan berkembang luas sehingga ke aktiviti pemprosesan atau penghasilan produk berasaskan mineral yang merangkumi peringkat pertengahan dan hiliran.

Sepanjang proses pelaksanaan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara, Kementerian ini akan memaklumkan kemajuan pelaksanaan dan perjalanan pelan transformasi ini melalui laporan kemajuan tahunan yang memberi tumpuan kepada pencapaian dan jurang yang masih wujud serta tindakan intervensi yang bakal dilaksanakan. Ia bagi memastikan pelan yang dirancang mencapai prestasi kemajuan yang ditetapkan.

Kementerian juga berhasrat untuk mewujudkan semula Majlis Mineral Negara yang sebelum ini telah digabungkan di bawah Majlis Tanah Negara pada tahun 2009. Pewujudan semula Majlis Mineral Negara adalah bagi memastikan isu-isu berkaitan industri mineral negara dapat dibincangkan secara komprehensif antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terutamanya untuk memastikan segala perancangan dan pelaksanaan yang terkandung dalam pelan transformasi industri mineral negara dapat dicapai sepenuhnya.

Selain itu, Kementerian ini juga dalam tindakan untuk menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Mineral Malaysia (LPMM) sebagai pemacu pembangunan dan tadbir urus industri mineral secara khusus dan holistik termasuk kawal selia industri tersebut. Kementerian ini mensasarkan untuk membentangkan RUU LPMM ini di Parlimen pada bulan Mac 2021.

​Tambahan lagi, antara langkah awal yang telah diambil bagi memastikan ketelusan dalam tadbir urus industri mineral negara, Kementerian ini juga telah memperkenalkan prosedur baharu dalam proses permohonan kelulusan pengeksportan pasir di mana Jawatankuasa Teknikal Pengeksportan Pasir Ke Luar Negara (JKTEP) telah ditubuhkan untuk meneliti, menyemak dan mempertimbang setiap permohonan. JKTEP juga bertanggung jawab untuk mengemukakan syor terhadap setiap permohonan setelah pemohon memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli komited untuk merealisasikan pelan transformasi industri mineral negara agar sektor mineral menjadi sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara, di samping mengamalkan kaedah perlombongan yang mampan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Attachments