Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

27 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

37

Soalan

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID [KEMAMAN] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan keseriusan pihak Kementerian dalam memerangi aktiviti yang melibatkan pembalakan haram sepanjang pandemik COVID-19 menular.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sentiasa bersiap siaga dalam memerangi kes kesalahan hutan di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal terutamanya yang melibatkan pembalakan haram. Sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19 ini, aktiviti penguatkuasaan hutan sentiasa dijalankan seperti biasa sebagaimana yang dilaksanakan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutamanya di kawasan hotspot dan berisiko tinggi berlakunya kes kesalahan hutan dengan mengamalkan norma baharu sepertimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

2. Sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), JPSM telahpun mengarahkan semua Jabatan Perhutanan Negeri untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan hutan di negeri masing-masing selaras dengan Akta Perhutanan Negara [Akta 313] dan garis panduan (SOP) yang berkuatkuasa. Dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 71 kes kesalahan hutan telah direkodkan dan telah dibuka kertas siasatan. Daripada jumlah tersebut, ia melibatkan seramai 47 orang yang disyaki (ODS) yang terdiri daripada 41 warga tempatan dan 6 warga asing bagi pelbagai kes kesalahan hutan.

3. Sehingga kini, kes pembalakan haram yang direkodkan daripada bulan Januari hingga Mei 2020 di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 8 kes di mana 6 kes adalah dalam tempoh PKP dan PKPB.

​Sekian, terima kasih.

Attachments