Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

27 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

39

Soalan

DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN [ KIMANIS ] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha-usaha Kementerian yang telah diambil untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan elektrik di Sabah.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan kualiti bekalan dan perkhidmatan elektrik di Sabah seperti berikut:

1. Kerajaan telah melaksanakan perancangan pembekalan elektrik Sabah melalui Pelan Pembangunan Penjanaan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah yang dianggotai oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah yang berkaitan serta syarikat utiliti Sabah Electricity Sdn Bhd.

2. Pelan Pembangunan Penjanaan ini menetapkan perancangan penjanaan bagi tempoh jangka panjang (sehingga 20 tahun) dan jangka pendek (sehingga 10 tahun sahaja) untuk negeri Sabah berdasarkan analisis lengkap oleh Suruhanjaya Tenaga selaku badan regulatori industri bekalan elektrik negara. Ia dirangka dengan mengambil kira penilaian unjuran permintaan, opsyen teknologi penjanaan, kecukupan bahan api dan kos pembekalan yang paling optimum;

3. Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan geran berjumlah RM2.3 bilion dan pinjaman berjumlah RM1.14 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bagi pelaksanaan projek-projek pengukuhan sistem penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik. Projek-projek ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) dan Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB); dan

4. Kerajaan Persekutuan juga menyediakan peruntukan subsidi yang besar kepada SESB yang merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar dan subsidi sokongan tarif yang berjumlah RM3.7 bilion bagi tempoh 2012 sehingga 2019, bagi memastikan kemampanan operasi syarikat utiliti tersebut.

​Sekian, terima kasih.

Attachments