Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, cadangan pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] telah diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 8 November 2019 dan Majlis Tanah Negara Ke-76 pada 4 Disember 2019. Manakala, cadangan pindaan Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 8 November 2019.
2. Walau bagaimanapun, susulan pembentukan kabinet baharu Kerajaan Persekutuan pada 9 Mac 2020, Jabatan Peguam Negara telah menasihatkan agar cadangan pindaan Akta 313 dan Akta 716 perlu dikemukakan semula kepada Jemaah Menteri dan Majlis Tanah Negara untuk pertimbangan.
3. Cadangan pindaan Akta 313 telah mendapat kelulusan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 6 Mei 2020 dan kini dalam proses untuk dibentangkan dalam Majlis Tanah Negara Ke-77 yang dijangka akan bermesyuarat pada bulan September 2020. Cadangan pindaan Akta 313 dijangka akan dibentangkan untuk Bacaan Pertama di Parlimen pada bulan November 2020.
4. Cadangan pindaan Akta 716 pula sedang dalam proses mendapatkan ulasan oleh Kementerian dan Agensi berkaitan untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri. Cadangan pindaan Akta 716 juga dijangka akan dibentangkan untuk Bacaan Pertama di Parlimen pada bulan November 2020.
Sekian, terima kasih.