Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 September 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

Ukur dan Pemetaan

Nombor Soalan

6

Soalan

Datuk Paul Igai minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatak​an status pengukuran sempadan Malaysia-Indonesia setakat ini. Apakah cabaran menentang kejayaan usaha itu.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia - Indonesia kini diusahakan secara bersama dengan pihak negara jiran oleh pasukan ukur Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), yang merupakan satu agensi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Kerja-kerja penandaan dan pengukuran telah bermula pada 9 September 1975 dan siap pada 20 September 2001 melibatkan jarak  sepanjang 2,067 km. Daripada jarak keseluruhan tersebut, sepanjang 1,979.3 km telah pun dimuktamadkan penandaan dan pengukurannya setelah termeterainya sebanyak 22 Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua buah negara. MoU yang terbaharu iaitu MoU ke-22 telah ditandatangani pada 21 November 2019. Baki anggaran jarak sepanjang 87.7 km kini sedang dirundingkan kerana terlibat dengan isu tuntutan wilayah bertindih di tujuh (7) kawasan yang dikenali sebagai Outstanding Boundary Problems (OBP).  Selain aktiviti penandaan dan pengukuran, JUPEM juga terlibat secara bersama dengan negara jiran di dalam melaksanakan ukuran penyelenggaraan bagi menggantikan tanda-tanda sempadan antarabangsa yang telah hilang, rosak atau yang telah teranjak dari kedudukan asalnya.

​2. Terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di dalam aktiviti-aktiviti penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia - Indonesia. Antara lainnya adalah kawasan pengukuran yang lazimnya terletak jauh di pedalaman iaitu di dalam kawasan berhutan tebal dengan struktur muka bumi bergunung-ganang yang mencabar serta menyukarkan akses ke lokasi pengukuran melalui jalan darat. Hal ini menyebabkan timbulnya keperluan bagi penggunaan helikopter sebagai salah satu kaedah akses utama ke lokasi penandaan dan pengukuran. Di atas faktor kos yang tinggi, penggunaan helikopter ini sudah semestinyalah memerlukan perancangan yang teliti terutamanya dari aspek pengurusan kewangan bagi memastikan pengukuran dapat diselesaikan mengikut masa yang dirancang.

3. Di samping itu, anggota pasukan ukur juga berhadapan dengan ancaman binatang buas, keadaan cuaca yang tidak menentu, risiko kemalangan yang tidak diduga, bekalan makanan yang tidak mencukupi, risiko keselamatan yang memerlukan khidmat iringan anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), serta pelbagai lagi kesukaran yang menjadi asam garam di dalam menggalas tugas demi untuk memelihara kedaulatan negara kita.

4. Cabaran terbaru yang dihadapi oleh JUPEM adalah risiko penularan wabak COVID-19 di kawasan pengukuran dan bagi membendung ancaman ini, kegiatan penandaan dan pengukuran sempadan antarabangsa  Malaysia - Indonesia telah pun ditangguhkan buat masa ini ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak. Walau bagaimanapun, JUPEM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memuktamadkan Standard Operating Procedure (SOP) menjalankan kerja-kerja ukur semasa penularan wabak ini.

5. Selain itu, sebahagian aktiviti pembangunan dan pertanian yang dijalankan di kawasan berhampiran sempadan darat antarabangsa Malaysia - Indonesia sering menyebabkan kerosakan atau kehilangan tanda-tanda sempadan. Oleh itu, kerja-kerja ukuran penyelenggaraan perlu dilaksanakan secara bersama dengan pihak negara jiran. Justeru, JUPEM sentiasa mengadakan sesi libat urus dan outreach dengan jabatan/agensi yang terlibat dengan aktiviti pembangunan yang akan dilaksanakan berhampiran sempadan bagi memastikan tanda-tanda sempadan sentiasa dalam keadaan baik dan sempadan negara sentiasa terpelihara.

Sekian, terima kasih.

Attachments