Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

27 July 2020

Tahun Persidangan

2020

Kategori

PERHILITAN

Nombor Soalan

51

Soalan

TUAN WONG HON WAI [BUKIT BENDERA] minta MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI menyatakan statistik spesies haiwan yang terancam di Malaysia dan adakah pihak Kementerian akan meluaskan kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk melindungi spesies terancam dan apakah dasar dan langkah yang telah dilaksanakan untuk menambah baik usaha tersebut.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

​Mengikut data yang direkodkan di dalam Red List of Mammals for Peninsular Malaysia, sehingga penghujung tahun 2017, terdapat satu spesies yang telah disenaraikan sebagai pupus atau extinct iaitu Badak Jawa, manakala empat (4) spesies lagi dinilai sebagai amat terancam atau critically endangered iaitu Badak Sumatera, Harimau Malaya, Tenggiling dan Banteng. Selain itu, sebanyak 12 spesies dinilai sebagai terancam (endangered) sementara 14 spesies dinilai sebagai terdedah kepada ancaman (vulnerable), 33 spesies hampir merbahaya (near threatened), 83 spesies kurang membimbangkan (least concern) dan 76 spesies berstatus kurang data (data deficient). 

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sangat komited dalam melindungi hidupan liar supaya tidak pupus. Antara usaha-usaha yang dijalankan ialah:

1. mewujudkan kawasan perlindungan (protected areas ) seperti Taman Negara dan rezab hidupan liar bagi keliaran hidupan liar di habitat semula jadi;​

2. mewujudkan rangkaian koridor ekologi bagi membolehkan pergerakan hidupan liar;

3. ​​meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] bagi mengenakan hukuman denda yang lebih berat untuk kesalahan menceroboh kawasan rizab dan perlakuan zalim terhadap hidupan liar;

4. meningkatkan rondaan penguatkuasaan di dalam dan luar kawasan perlindungan menerusi program Operasi Bersepadu Khazanah dan Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO);

5. menjalankan program penguatkuasaan dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa seperti International Police (INTERPOL) bagi memastikan semua hidupan liar yang terancam dilindungi daripada penyeludupan dan dieksploitasi secara tidak terkawal;

6. melantik Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar secara secara Contract for Service (CFS) bagi meningkatkan penguatkuasaan;

7. melaksanakan Pelan Konservasi Gajah Kebangsaan 2013-2022 (NECAP) dan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan 2008-2020 (NTCAP);

8. menjalankan program konservasi hidupan liar secara ex-situ melalui pembiakan di dalam kurungan untuk menyediakan stok hidupan liar bagi program pelepasan semula ke habitat semula jadi. Antara spesies yang berjaya dibiak dan dilepaskan ke habitat semula jadi adalah seladang, Tapir Malaya, rusa, kijang dan Burung Kuang;

9. bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan-kawasan santuari seperti Johor Elephant Sanctuary (JES) dan Perak Elephant Sanctuary (PES); dan

10. menjalankan program Communication, Education dan Public Awareness (CEPA) secara berterusan.

Sekian, terima kasih.​

Attachments